Terengganu layak tundukkan Selangor - Steinbruckner

Pemain Terengganu FC (TFC) Muhammad Syahmi Zamri (dua, kiri) meraikan kejayaan selepas berjaya menjaringkan gol semasa menentang pasukan Selangor FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak. - Foto Bernama
Pemain Terengganu FC (TFC) Muhammad Syahmi Zamri (dua, kiri) meraikan kejayaan selepas berjaya menjaringkan gol semasa menentang pasukan Selangor FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menegaskan pasukannya berhak untuk meraih kemenangan 2-0 ke atas Selangor FC, dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu.

Menurutnya, pemain tidak membuat banyak kesilapan selain beraksi cukup baik untuk mendominasi perlawanan terutama pada separuh masa pertama.

“Tahniah kepada pemain dan kami gembira serta berhak untuk menang. Separuh masa pertama kami bermain baik berbanding Selangor dan terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

“Separuh masa kedua Selangor buat perubahan dalam pasukan dan mereka berjaya mengawal perlawanan. Kami berdepan kesukaran, tetapi kami bermain sebaik mungkin dalam keadaan itu dan berjaya menjaringkan gol kedua.

“Walaupun kami pernah tewas kepada mereka 1-5 dalam saingan Liga Super musim ini, tetapi pada hari ini kami tidak buat kesilapan besar dan menang," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Terengganu menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan Selangor menerusi jaringan Ivan Mamut dan Muhammad Syahmi Zamri.

Steinbruckner turut memuji impak yang dipamerkan pemain muda selepas dimasukkan pada babak kedua selepas ada pemain utama mengalami kecederaan.

"Selepas beberapa pemain minta untuk ditukarkan kerana kecederaan, kami buat keputusan untuk letak beberapa pemain muda dalam pasukan, tahniah kepada Syahmi menjaringkan gol pertamanya untuk Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat gembira kerana pemain muda kami bermain semakin baik malam ini. Safwan walaupun dia tidak banyak bermain, bermain dengan baik malam ini,"katanya.

Selepas ini, Terengganu FC akan bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk aksi suku akhir kedua, pada Ahad depan.