Tuntutan palsu RM500,000: Pengerusi Majlis Belia direman

Suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut berkait tuntutan palsu bernilai RM500,000.
Suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut berkait tuntutan palsu bernilai RM500,000.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pengerusi majlis belia di sebuah daerah negeri ini direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu bernilai setengah juta.

Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu sehingga Selasa depan bagi membolehkan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait tuntutan berkenaan.

Suspek berusia 38 tahun dipercayai membuat tuntutan bernilai RM500,000 kepada sebuah pejabat tanah bagi perbelanjaan untuk 32 program.

Tuntutan berkenaan dikatakan dibuat suspek sekitar Mei tahun lalu untuk program yang dijalankan di sekitar kawasan di sebuah daerah, sedangkan dipercayai program itu tidak dilaksanakan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara hingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai tuntutan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bapa kepada tiga anak itu ditahan di Pejabat SPRM Terengganu jam 5.30 petang semalam.

Artikel Berkaitan: