KPM lancar Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape

Azman merasmikan Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape di Kolej Tingkatan Enman Desa Mahkota, Kuala Lumpur pada Rabu.
Azman merasmikan Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape di Kolej Tingkatan Enman Desa Mahkota, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape untuk mengekang trend murid yang menjadikan tabiat menghisap rokok dan vape sebagai satu kebiasaan.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Operasi Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, Azman Adnan berkata, usaha berkenaan bertepatan dengan dasar kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas tanpa sebarang bentuk amalan merokok menjelang tahun 2040.

“Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kes murid yang menghisap vape telah mengalami kesan serta-merta terhadap fungsi badan. Hal ini memberi gambaran jelas bahawa budaya vaping ini patut dihentikan serta-merta dalam kalangan murid sekolah kerana membawa kemudaratan.

“Justeru, program itu perlu dilaksanakan secara konsisten kerana ia akan memberi impak besar kepada semua murid. Warga pendidik dan masyarakat juga perlu cakna serta sentiasa memperingatkan kesan buruk rokok dan vape kepada murid serta anak kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang bakal dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan murid-murid berumur di bawah 18 tahun tidak dibenarkan membeli dan merokok termasuk rokok elektronik atau vape.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan KPM konsisten dengan arahan kepada semua jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah tentang sekolah merupakan kawasan larangan merokok.

“KPM berpandangan pendidikan pencegahan rokok, vape dan bahan-bahan terlarang seperti dadah serta sebagainya secara berterusan mampu membentuk murid untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kementerian juga sentiasa memberi peringatan agar pihak sekolah melaksanakan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) yang merangkumi aspek dadah, rokok, alkohol, vape, inhalan dan HIV,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Azman (dua dari kiri) mengunjungi pameran rokok dan vape yang tersedia di Kolej Tingkatan Enman Desa Mahkota pada Rabu.
Azman (dua dari kiri) mengunjungi pameran rokok dan vape yang tersedia di Kolej Tingkatan Enman Desa Mahkota pada Rabu.

Pada masa sama, Azman turut mengulas mengenai silibus kurikulum di bawah mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK), katanya, murid-murid telah didedahkan menjauhi amalan tidak sihat seperti merokok, meminum alkohol serta terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ujarnya, pendekatan pendidikan pencegahan rokok juga diterapkan dalam Program Pembangunan Sahsiah Murid seperti dalam kursus kepimpinan, ceramah, pameran, mesej lima minit bahaya rokok dan vape sewaktu perhimpunan atau sebelum permulaan pengajaran di dalam bilik darjah.

Tambah Azman lagi, aktiviti berbentuk pertandingan seperti kuiz, poster infografik, esei, cerpen, video pendek dan diperluaskan lagi dengan penggunaan platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram.

“KPM menyokong usaha KKM dalam memerangi isu merokok dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk mengawal penggunaan rokok konvensional, rokok bukan daripada tembakau termasuk rokok elektronik dan vape khususnya dalam kalangan murid di sekolah.

“Langkah-langkah ini juga selari dengan matlamat untuk melahirkan insan beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera dalam membentuk Malaysia Madani,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!