Kastam Perak rampas rokok, minuman keras RM950,000

Abdul Ghafar (tengah) menunjukkan rokok dan minuman keras yang dirampas bernilai RM950,000 dalam serbuan di Perak dan Johor, minggu lalu. - Foto: ihsan JKDM
Abdul Ghafar (tengah) menunjukkan rokok dan minuman keras yang dirampas bernilai RM950,000 dalam serbuan di Perak dan Johor, minggu lalu. - Foto: ihsan JKDM
A
A
A

IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya merampas rokok dan minuman keras disyaki diseludup bernilai RM950,000 dalam tiga serbuan berasingan, minggu lalu.

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, pasukan dari Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Ipoh membuat serbuan di sebuah kediaman tidak berpenghuni di Chemor pada 4 Disember lalu.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pasukan berjaya menemui sebanyak 646,800 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dengan anggaran nilai duti berjumlah RM420,940.40.

"Kesemua barangan terbabit disyaki barang belum lulus kastam. Pihak kami sedang mengesan pemilik rumah berkenaan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, serbuan kedua berjaya merampas 1,859.60 liter minuman keras pelbagai jenama di sebuah kedai di Gopeng pada 6 Disember lalu.

JKDM Perak berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras dalam tiga serbuan berasingan di Perak dan Johor, minggu lalu. - Foto: ihsan JKDM
JKDM Perak berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras dalam tiga serbuan berasingan di Perak dan Johor, minggu lalu. - Foto: ihsan JKDM

"Serbuan yang dilakukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu menemui minuman keras membabitkan cukai berjumlah RM 57,276.08 yang disyaki barang belum lulus kastam.

"Seorang saksi warga tempatan berusia 22 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Ghafar berkata, serbuan diteruskan melibatkan sebuah kediaman Johor Bahru, Johor sekitar jam 10.30 pagi pada 7 Disember lalu.

"Hasil pemeriksaan pasukan berjaya menemui 701,000 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dengan anggaran cukai berjumlah RM469,802.40 yang disyaki barang belum lulus kastam.

"JKDM Perak telah menahan dua individu warga tempatan berusia 34 dan 46 tahun untuk membantu siasatan," katanya.

Tambah beliau, kesemua kes akan disiasat di bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!