Kedah kutip 15 peratus royalti REE tahun depan

Sanusi pada sidang akhbar di DUN Kedah pada Ahad.
Sanusi pada sidang akhbar di DUN Kedah pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri dijangka menjana hasil pendapatan daripada perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Sik dengan kadar nilai royalti sebanyak 15 peratus menjelang pertengahan tahun depan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia berdasarkan satu kelulusan pengekstrakan yang telah diberikan sejak Ogos 2022.

Menurutnya, ini merupakan hasil keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Kedah sebagai negeri kedua perintis projek perlombongan REE selepas Perak.

“REE adalah sumber ekonomi baharu yang dianugerahkan ALLAH SWT kepada rakyat Kedah. Untuk memastikan hasil baharu ini memberi manfaat kepada rakyat, pada tahun depan pentadbiran tanah Kedah merencanakan kutipan hasil daripada sumber hasil negeri pada masa hadapan.

"Kelulusan penerokaan REE daripada Kerajaan Persekutuan. Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang memilih Kedah sebagai projek rintis penerokaan REE untuk mengkaji kesan kepada dirian hutan,” katanya.

Sanusi berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Kedah ke-15 (Mesyuarat Bajet 2024) di Wisma Darul Aman, di sini, pada Ahad.

Sanusi berkata, pemilihan Kedah sebagai projek rintis ini akan meletakkan negeri ini berpotensi untuk melaksanakan perlombongan REE, dengan anggaran sebanyak 250,000 tan metrik berbanding keseluruhan rizab REE Kedah berjumlah 1,196 juta tan metrik.

“Angka ini merupakan hasil penerokaan baharu pengekstrakan REE dalam tempoh 10 tahun akan datang. Saya harap ia membawa impak besar kepada ekonomi Kedah dan diharapkan ia diurus dengan cekap, amanah dah adil.

Artikel Berkaitan:

“Kesungguhan dan kesediaan Kedah untuk menguruskan industri mineral khususnya REE diterjemahkan sebagai dasar negeri dan pindaan peruntukan mineral yang memasukkan kadar royalti 15 peratus bagi karbonat REE sebagai satu kadar baharu yang dikutip sekiranya REE menjadi bijih keberhasilan utama sektor perlombongan Kedah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri telah mengenal pasti kompartmen di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik untuk dimulakan pada bila-bila masa.