Bunyi berdesir atas bumbung didengar ibu hamil terungkai

Anggota APM memegang ular tedung selar sepanjang kira-kira 7 meter yang ditangkap bersembunyi di sebalik bumbung sebuah rumah di Kampung Serada, Kuala Terengganu.
Anggota APM memegang ular tedung selar sepanjang kira-kira 7 meter yang ditangkap bersembunyi di sebalik bumbung sebuah rumah di Kampung Serada, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita hamil tidak menyangka bunyi berdesir didengar sejak awal pagi Isnin lalu rupanya bunyi seekor ular tedung selar yang memanjat dan menyelinap masuk ke atas bumbung rumah di Kampung Serada di sini.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Edie Azhar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu jam 12 tengah hari pada Selasa memberitahu terdengar bunyi bising dari bahagian bumbung rumah.

Menurutnya, lapan anggota APM dari Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Terengganu dikejarkan ke rumah yang didiami dua keluarga termasuk wanita hamil dan bayi berusia lima bulan itu.

"Sebaik tiba di rumah itu kita dapati seekor ular tedung selar dianggarkan sepanjang 7 meter berada di atas bumbung rumah berkenaan.

"Kita mengalami kesukaran untuk menangkap ular tersebut kerana ia berada di tempat yang sempit dan tinggi.

"Keadaan itu menyebabkan operasi menangkap haiwan berbisa tersebut mengambil masa kira-kira 45 minit," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Jelas beliau, ular seberat 5 kilogram itu kemudian dibawa ke sangkar sementara di Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Terengganu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Dalam perkembangan sama, Edie berkata, orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan berisiko dimasuki haiwan berbisa perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling rumah.

Artikel Berkaitan:

"Apabila musim hujan, habitat haiwan ini dinaiki air menyebabkan ia keluar mencari perlindungan.

"Kita galakkan penghuni rumah memeriksa kawasan sekitar rumah bagi memastikan kehadiran haiwan ini disedari dan dapat mengelak kejadian tidak diingini,"ujarnya.

Berdasarkan rekod, APM Terenganu berjaya mengendalikan sebanyak 7,023 kes tangkapan ular di seluruh negeri sejak Januari hingga November tahun ini.

Jumlah tangkapan pada Oktober tahun ini merekodkan kes tangkapan ular tertinggi dengan keseluruhan sebanyak 835 kes diikuti bulan November lebih 700 kes.