Kadar gaji pekerja wanita lebih rendah berbanding lelaki

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar gaji pekerja wanita di negara ini didapati lebih rendah berbanding lelaki menerusi laporan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pekerja wanita menerima gaji sebanyak RM66.67 bagi setiap RM100 gaji serta upah yang diterima pekerja lelaki menerusi sub-indeks Peluang dan Penyertaan Ekonomi.

Malah menurutnya, jumlah anggaran pendapatan yang diperoleh pekerja wanita menerusi bancian itu hanya RM42,080 per tahun manakala lelaki RM63,117 per tahun.

“Namun, bagi sub-indeks Pencapaian Pendidikan, wanita telah melebihi lelaki dengan skor 1.067, kadar enrolmen di peringkat rendah dan menengah bagi perempuan secara konsisten adalah lebih tinggi berbanding lelaki.

“Pada 2022, kadar enrolmen kasar bagi perempuan di peringkat rendah dan menengah masing-masing ialah 98.8 peratus serta 94.9 peratus.

“Di peringkat tertiari, wanita merekodkan 49.5 peratus mengatasi lelaki (33.2 peratus), pencapaian ini menunjukkan komitmen negara dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kadar gaji pekerja wanita lebih rendah berbanding lelaki.
Kadar gaji pekerja wanita lebih rendah berbanding lelaki.

DOSM mengeluarkan penerbitan Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih Malaysia 2023 yang merupakan siri keenam sejak 2017.

Artikel Berkaitan:

Laporan bancian tersebut memperincikan statistik berkaitan gender di negara ini bagi 2020 hingga 2022 dengan memfokuskan set teras indikator gender merangkumi sebelas domain berdasarkan data terkini daripada pelbagai agensi.

Mohd Uzir memaklumkan, MGGI pada 2022 menunjukkan purata skor 0.694, atau 69.4 peratus iaitu meningkat sebanyak 0.2 mata berbanding 69.2 peratus pada 2021.

Sementara itu, beliau menambah, purata jangka hayat perempuan semasa lahir di negara ini kira-kira 76.4 tahun, lebih lama berbanding lima dekad yang lalu iaitu 65.6 tahun (1970) menerusi sub-indeks Kesihatan dan Kehidupan.

Ujarnya lagi, bagi sub-indeks Penguasaan Politik pula merekodkan skor terendah iaitu 10.2 peratus yang menunjukkan terdapat potensi peningkatan perwakilan dan pemerkasaan wanita dalam bidang politik.

“Dianggarkan 15.7 juta penduduk Malaysia adalah perempuan daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk pada 2022.

“Purata gaji dan upah bulanan bagi pekerja perempuan terus meningkat kepada RM3,140 pada 2022 (RM2,968 pada 2021).

“Malaysia sentiasa berdedikasi untuk capai kesaksamaan gender dan mempromosikan hak wanita serta kanak-kanak perempuan, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” jelas beliau.