Kerajaan rangka langkah elak bayar cukai berganda

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah merangka beberapa langkah yang perlu bagi memastikan penyedia perkhidmatan dan pengguna tempatan tidak dikenakan cukai berganda susulan pengenalan perkhidmatan bercukai yang diimport dan perkhidmatan digital yang diimport (cukai digital) masing-masing sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2020.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini berkata pengenaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital yang diimport bertujuan memastikan layanan yang adil kepada penyedia perkhidmatan tempatan dan mewujudkan persaingan sama rata kepada kedua-dua penyedia perkhidmatan tempatan dan asing yang menyediakan perkhidmatan bercukai kepada perniagaan dan pengguna di Malaysia.

Pada masa yang sama, kerajaan juga peka dengan isu kenaikan harga dan pengenaan cukai berganda kepada pengguna, justeru, telah menetapkan beberapa layanan untuk memastikan tidak ada masalah penyedia perkhidmatan dan pengguna tempatan dikenakan cukai berganda.

Antaranya, ialah kemudahan group relief (kumpulan sokongan) turut dipanjangkan kepada pengimportan perkhidmatan bercukai yang layak daripada syarikat pemberi perkhidmatan tempatan, yang merupakan syarikat dari kumpulan yang sama yang berada di luar negara.

"Dengan kata lain, penyedia perkhidmatan tempatan tidak perlu dikenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan bercukai yang diimport daripada syarikat penyedia luar negara yang berada dalam kumpulan yang sama," kata kementerian itu.

Selain itu adalah pengecualian dari mengakaunkan dan membayar cukai perkhidmatan berdasarkan kaedah 'self-recipient accounting' ke atas pengimportan perkhidmatan profesional dan perkhidmatan pengiklanan (Business to business - B2B). Jenis perkhidmatan bercukai yang diimport tersebut adalah merupakan perkhidmatan yang sama disediakan oleh syarikat tersebut.

Menurut kenyataan itu, penyedia perkhidmatan tempatan yang telah membayar cukai perkhidmatan kepada penyedia perkhidmatan asing ke atas pengimportan perkhidmatan digital (business to consumer - B2C) boleh membuat tuntutan bayaran balik daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan offset berdasarkan amaun sebenar cukai perkhidmatan yang dibayar.

"Perkhidmatan pendidikan jarak jauh bagi pendidikan peringkat pra sekolah, pendidikan sekolah rendah dan menengah dan pendidikan peringkat pengajian tinggi termasuk latihan vokasional dan profesional yang disediakan secara dalam talian sama ada oleh penyedia perkhidmatan tempatan atau asing tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai dan tidak dikenakan cukai perkhidmatan," kata Kementerian Kewangan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkhidmatan dalam talian seperti e-akhbar dan bahan bacaan berkaitan pendidikan, teknikal, saintifik, jurnal atau terbitan berkala sejarah atau saintifik tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai dan tidak dikenakan cukai perkhidmatan.

"Perlu ditegaskan cukai digital hanya dikenakan atas perkhidmatan dan bukan barangan demi melindungi penyedia perkhidmatan tempatan dengan mewujudkan keadaan daya saing yang adil dengan penyedia perkhidmatan luar negara," kata kementerian itu.

Pihak JKDM akan mengadakan sesi jelajah dan penerangan berkaitan pelaksanaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital yang diimport kepada orang ramai dan juga industri tempatan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu orang ramai boleh melayari portal mysst.customs.gov.my.

- Bernama