Signal Anwar buat barisan Kabinet

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

MUNGKIN bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinet selepas setahun memimpin negara.

Sebelum ini beliau pernah membayangkan akan mencorakkan semula Kabinetnya pada Januari, akan tetapi berbuat demikian lebih awal.

Namun bukan halangan, kuasa prerogatif beliau membolehkan PM memilih atau menggugurkan barisan menteri dan timbalan mengikut kesesuaian pentadbiran semasa.

PM membuat keputusan bijak dengan menambah teknokrat untuk membantu pentadbiran di kala negara memerlukan seorang menteri yang fokus kepada soal kewangan negara.

Pemilihan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II bagi membantu Anwar dalam hal pengurusan kewangan adalah keputusan tepat.

Lantikan Amir Hamzah sekurang-kurangnya dapat menutup mulut sesetengah pihak yang sebelum ini mengkritik Anwar tidak dapat memberikan tumpuan tugas kerana terlibat dengan tugasan rasmi sebagai perdana menteri.

Amir Hamzah sebagai pakar kewangan yang menguruskan aset KWSP berjumlah RM1.1 trilion perlu mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia walaupun bukan mudah dalam situasi negara hari ini!

Lebih menarik, PM melantik bekas Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Zulkifli Hasan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), untuk menguruskan hal ehwal agama.

Artikel Berkaitan:

Anwar juga mengembalikan dua bekas menteri sebagai timbalan menteri iaitu, bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dan bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran bagi mengukuhkan lagi pentadbirannya.

Pemilihan Noraini dilihat tepat untuk membantu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri sebagai timbalan selepas kejayaan Ketua Wanita UMNO itu sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melaksanakan program wanita Risda dikenali Jelita @ Risda.

Rombakan pertama ini adalah signal kepada barisan menteri dan timbalan menteri yang perlu memberikan fokus kepada tanggungjawab, Anwar akan tukar atau gugur jika anda gagal!