Rombakan Kabinet tiada kaitan soal politik - Zambry

Zambry bercakap kepada pemberita di Kementerian Pendidikan Tinggi pada Khamis. - Foto Bernama
Zambry bercakap kepada pemberita di Kementerian Pendidikan Tinggi pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Rombakan Kabinet adalah hak prerogatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia tidak ada kaitan dengan soal politik, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu itu berkata, Perdana Menteri mempunyai hak mutlak untuk membina pasukan yang difikirkannya adalah terbaik bagi melaksanakan tugas kepada rakyat.

"Tentunya beliau (Anwar) sudah membuat penilaian yang terbaik untuk meneruskan (gerak kerja) dan juga respons yang beliau peroleh daripada rakyat, bagaimana beliau menyusun semula (Kabinet).

"Ia (rombakan) tidak ada kaitan dengan soal politik seperti yang dispekulasi oleh sesetengah pihak," katanya kepada pemberita selepas mengimbas cap jari sebagai simbolik permulaan tugas rasmi di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini pada Khamis.

Zambry yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian sebagai mengulas dakwaan antara faktor rombakan Kabinet diumumkan Anwar pada Selasa lepas adalah untuk melindungi pengaruh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri.



Anwar melakukan rombakan Kabinet yang pertama sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam usaha memperkukuh pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa.

Rombakan itu turut melibatkan pertukaran portfolio menteri-menteri UMNO antaranya Zambry yang dahulunya Menteri Luar bertukar portfolio kepada Menteri Pendidikan Tinggi.

Portfolio Menteri Luar digalas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Zambry berkata, penstrukturan semula Kabinet adalah perkara biasa bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan.

"Tumpuan kita ialah apa yang perlu kita laksanakan, apa yang sudah perdana menteri tetapkan kerana matlamat dalam kerajaan Madani ialah untuk memberi yang terbaik kepada rakyat,” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan: