Ringgit ditutup rendah menjelang data inflasi AS lewat hari ini

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, menjelang data inflasi AS bagi November dikeluarkan lewat malam ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.6830/6855 berbanding dolar AS daripada 4.6805/6850 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada RM4.6765 semasa sesi pagi, sebelum turun kepada RM4.6847 pada dagangan petang.

Beliau berkata, pengumuman rombakan Kabinet Malaysia masih belum memberi kesan positif terhadap ringgit memandangkan pelabur menumpukan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) hari ini dan esok mengenai ringkasan unjuran ekonomi selain data inflasi AS lewat malam ini.

"Walau bagaimanapun, perubahan barisan Kabinet seharusnya memberi impak positif untuk pasaran mata wang dalam jangka masa sederhana kerana perlu ada kejelasan mengenai pelaksanaan dasar dan hasilnya,” katanya.

Pada penutupan dagangan hari ini, ringgit diniagakan lemah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik rendah berbanding pound Britain kepada 5.8842/8873 daripada 5.8782/8839 ketika ditutup pada Isnin, serta turun berbanding euro kepada 5.0548/0575 daripada 5.0414/0462.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.2212/2232 daripada 3.2034/2067 semalam.

Artikel Berkaitan:

Mata wang tempatan juga didagangkan rendah berbanding mata wang negara ASEAN lain.

Ringgit turun berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.43 daripada 8.41/8.42 semalam dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 299.7/300.1 daripada 299.6/299.9.

Unit domestik susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4898/4920 daripada 3.4830/4866 pada Isnin serta lemah berbanding baht Thailand kepada 13.1261/1390 daripada 13.1103/1306. - Bernama