Kes Daesh: Bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’ diperintah bela diri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’ membela diri terhadap lapan pertuduhan termasuk melakukan aktiviti keganasan dengan mengancam untuk menyerang Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mahadi Mamat, 38, pada akhir kes pendakwaan.

"Setelah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya mengemukakan keterangan prima facie bagi setiap pertuduhan yang mana setiap elemen pertuduhan dibuktikan itu sekiranya tidak dipatahkan atau tidak diterangkan, mewajarkan sabitan terhadap tertuduh.

"Mahkamah juga berpuas hati bahawa tidak terdapat sebarang kecacatan pada pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh diperintahkan untuk membela diri,” kata hakim itu.

Mahkamah menetapkan prosiding membela diri pada 4 dan 18 April, 27 hingga 30 Mei serta 24 Jun 2024 dengan lima saksi pembelaan akan memberi keterangan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham, Nur Ainaa Ridzwan, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim serta Low Qin Hui manakala peguam Farida Mohammad dan Khairul Naim Rafidi mewakili tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan mengancam untuk membuat serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, dan mengancam untuk membunuh empat individu warganegara Malaysia, melalui kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa’.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130J (1) (b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan ketiga, Mahadi didakwa memberi latihan penggunaan senjata api kepada anggota kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa’ dalam persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130F (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada anggota kumpulan WhatsApp tersebut mengikut Seksyen 130F (b) kanun sama yang boleh dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu bagi pertuduhan kelima dan keenam, Mahadi didakwa mendapatkan enam butir ‘pipe bom’ dan sepucuk pistol semi-automatik CZ 75 B serta 15 butir peluru jenis ‘Luger 9mm’ untuk melaksanakan perbuatan pengganas, mengikut Seksyen 130JD (1) kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa merekrut beberapa individu menyertai kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa’, untuk melakukan perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130E kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kelapan pula, Mahadi didakwa memilik item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dan perbuatan keganasan di dalam sebuah telefon bimbit.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1) (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, dan boleh dilucut hak mana-mana item berkenaan, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Teris, Hulu Terengganu, kira-kira 5.45 petang, 7 Jan 2019 dan 5 Mei 2019, jam 9.48 malam.

Pada 29 Mei 2019, Mahadi didakwa atas lapan pertuduhan tersebut di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan. - Bernama