Zon Perdagangan Bebas KLIA jadi transit seludup server cip AI canggih

Aspalila (tengah) menunjukkan rampasan unit pelayan mengandungi cip AI canggih pada Rabu.
Aspalila (tengah) menunjukkan rampasan unit pelayan mengandungi cip AI canggih pada Rabu.
A
A
A

SEPANG - Taktik menjadikan Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai lokasi transit bagi membawa masuk 30 unit pelayan (server) yang mengandungi cip kecerdasan buatan (AI) canggih, dipercayai berpotensi digunakan dalam pembangunan senjata, dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, baru-baru ini.

Kes itu direkodkan pada 15 Oktober lalu, membabitkan keseluruhan barangan bernilai RM49.5 juta termasuk cukai.

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila AG Tuah berkata, siasatan mendapati 30 unit pelayan itu dibawa masuk ke Zon Perdagangan Bebas KLIA dari salah sebuah negara Asia menggunakan satu 'Air Waybill'.

"Siasatan awal juga mendapati server itu akan dieksport semula ke salah sebuah negara di Asia.

"Barangan itu dibawa masuk dengan diikrar sebagai komponen elektronik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo KLIA di sini, Rabu.

Gambar unit pelayan mengandungi cip AI canggih yang dirampas JKDM di Zon Perdagangan Bebas KLIA.
Gambar unit pelayan mengandungi cip AI canggih yang dirampas JKDM di Zon Perdagangan Bebas KLIA.

Aspalila berkata, sindiket terbabit menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit bagi memastikan tiada sekatan ketika pelayan berkenaan dieksport ke negara destinasi seterusnya.

Katanya, kes masih dalam siasatan dan syarikat pengendali penghantaran barang dagangan telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ini merupakan kes kelima pada tahun ini dengan nilai rampasan melebihi RM100 juta dan dipercayai melibatkan sindiket yang sama.

"Mana-mana individu yang berhasrat untuk mengeksport, memindah kapal atau membawa masuk sebagai transit cip AI canggih yang telah dikategorikan hendaklah memaklumkan kepada Sekretariat Perdagangan Strategik (STS), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!