Helah seludup dadah guna alamat palsu, ikrar permainan

Aspalila (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis bunga ganja yang dirampas JKDM KLIA pada 12 Oktober lalu.
Aspalila (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis bunga ganja yang dirampas JKDM KLIA pada 12 Oktober lalu.
A
A
A

SEPANG - Taktik lapuk penyeludupan dadah jenis bunga ganja dan ketamin bernilai RM1.03 juta menggunakan perkhidmatan parcel serta kargo selain alamat penghantaran palsu ditumpaskan dalam kes berasingan baru-baru ini.

Rampasan dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi pemeriksaan rutin.

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila AG Tuah berkata, bagi kes pertama pada 12 Oktober, tujuh bungkusan kotak disyaki berisi bunga ganja seberat 7.280 kilogram (kg) dirampas di Pos Malaysia International Hub KLIA.

Menurutnya, kesemua bungkusan itu dipercayai hendak dieksport ke salah sebuah negara Eropah.

"Bunga ganja bernilai RM582,400 itu cuba dibawa keluar menggunakan perkhidmatan parcel dan disembunyikan di dalam plastik kedap udara serta kotak yang diikrar sebagai kasut dan permainan kanak-kanak," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo KLIA di sini pada Rabu.

Kes kedua pada 9 Oktober, dadah jenis ketamin seberat 9.114 kg bernilai RM455,700 dalam satu bungkusan kotak dirampas salah sebuah Pengendali Terminal Kargo (CTO) Zon Perdagangan Bebas KLIA.

Aspalila berkata, dadah itu diletakkan dalam sembilan bungkusan aluminium.

"Ketamin ini cuba dibawa masuk menggunakan khidmat kargo dan diikrar sebagai sepana paip dan kotak peralatan," ujarnya.

Dedahnya, kedua-dua kes ini dikesan menggunakan alamat penerima dan pengirim palsu dan tidak lengkap sebagai salah satu modus operandi sindiket.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berlainan, kata beliau, dua kereta jenis Mini Cooper S bernilai RM334,620 termasuk duti dan cukai dirampas di sekitar Sepang pada 14 September lalu kerana dipercayai diseludup masuk tanpa permit import yang sah selain menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Pemeriksaan kenderaan itu didapati tidak mempunyai rekod pendaftaran di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!