Ramanan teruskan legasi nenek

Ramanan - Foto Bernama
Ramanan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R.Ramanan yang dilahirkan dalam keluarga yang lama berkecimpung dalam arena politik, sejak zaman pra-kemerdekaan lagi, kini sudah bersedia untuk meneruskan legasi keluarganya, sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Jurutera terlatih profesional berusia 42 tahun itu adalah cucu kepada 'Grand Dame’ dalam politik kaum India di Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan, wanita pertama memegang jawatan awam di Tanah Melayu sebelum merdeka, yang dipilih sebagai ahli Majlis Perbandaran Bangsar pada 1952.

Ramanan yang dilahirkan pada 11 Februari 1981 di Kuala Lumpur dinamakan sebagai calon untuk bertanding buat kali pertama, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di atas tiket Pakatan Harapan (PH), dan beliau terus menjadi perhatian ramai apabila menewaskan lawannya yang dianggap ramai sebagai ‘heavyweight’.

Pada pilihan raya itu beliau menewaskan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam pertandingan tujuh penjuru di kawasan parlimen Sungai Buloh, dengan majoriti 2,693 undi.

Pagi tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Ramanan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dam Koperasi, menggantikan Saraswathy Kandasami yang berpindah ke jawatan Timbalan Menteri Perpaduan.

Ramanan yang memiliki ijazah dalam bidang teknologi kejuruteraan (mekanikal) daripada Queensland University of Technology (QUT) di Australia, mula bergiat aktif dalam politik dengan menyertai parti MIC pada pertengahan tahun 2000.

Beliau memegang beberapa jawatan dalam MIC termasuk Ketua Bahagian Bukit Bintang; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin; Timbalan Ketua Biro Perancangan Strategik; Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) selama dua penggal sebelum dilantik sebagai bendahari agung parti pada 16 Dis 2013.

Ramanan meletak jawatan sebagai bendahari agung MIC pada 2014 bagi mengelak daripada membawa MIC dan BN terjebak dalam beberapa hal peribadi, dan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada presiden parti ketika itu Datuk Seri G. Palanivel.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyertai PKR susulan peristiwa ‘Langkah Sheraton’ pada 2020, dan berkhidmat sebagai ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), timbalan pengarah strategik parti dan kini Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR.

Beliau adalah pembantu kepada Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, pengerusi Persatuan Pelajar India Malaysia (MISA) dan penaung Yayasan Pendidikan, Kebajikan dan Penyelidikan. (EWRF). - Bernama