[VIDEO] Misteri kesan cakaran di pokok pisang

A
A
A

BAGAN DATUK - Kehadiran haiwan misteri yang merosakkan tanaman di empat kampung di sini menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk.

Kesan cakaran haiwan yang merosakkan pokok pisang mula dikesan sejak dua minggu lalu di Kampung Sungai Lanchang kini turut berlaku di Sungai Balai Darat, Kampung Sungai Nipah Darat dan Kampung Pasang Api.

Pemilik kebun, Nuri Salleh, 65, berkata, kejadian tersebut dikesan ketika dia melalui kebun untuk ke masjid dan terlihat beberapa pokok pisangnya patah serta mempunyai kesan cakaran.

Nuri
Nuri

Katanya, bukan sahaja berlaku di kebun miliknya tetapi turut dialami kebun berhampiran.

"Mula-mula tengok keadaan pokok pisang di kebun sebelah banyak rosak memang seram. Lagi pun jalan ini memang laluan saya ke masjid setiap hari.

"Saya berserah sahaja pada ALLAH dan baca ayat-ayat al-Quran yang saya tahu bila nak lalu jalan ini atau turun ke kebun," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kebunnya yang terletak di Lorong Limau Nipis Sungai Balai Darat di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Mohd Jalaludin menunjukkan keadaan pokok pisang yang dirosakkan haiwan misteri terbabit di Kampung Sungai Balai Darat di sini pada Selasa.
Mohd Jalaludin menunjukkan keadaan pokok pisang yang dirosakkan haiwan misteri terbabit di Kampung Sungai Balai Darat di sini pada Selasa.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 20 pokok pisang rosak akibat haiwan misteri tersebut.

Nuri berkata, sehingga kini tiada sebarang kelibat haiwan tersebut kelihatan biarpun terdapat kesan tapak kaki berhampiran kebun berkenaan.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Lanchang, Mohd Jalaludin Waris berkata, pihaknya sudah menerima tujuh aduan berkaitan kejadian tersebut.

Mohd Jalaludin
Mohd Jalaludin

Katanya, susulan itu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah dimaklumkan bagi memantau keadaan tersebut.

"Kejadian ini masih misteri, tak tahu haiwan apa. Macam-macam andaian, ada yang kata harimau akar, beruang matahari tapi tak ada siapa yang nampak.

"Jadi kita serahkan kepada pihak Perhilitan untuk bantu tangkap haiwan ini sebab kita bimbang berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Mohd Jalaludin berkata, dalam tempoh dua minggu yang lalu juga tiada laporan ternakan penduduk diserang haiwan liar sekali gus menyebabkan sukar untuk mengenal pasti binatang yang merosakkan tanaman tersebut.

Beliau turut menasihatkan penduduk kampung agar tidak ke kebun berseorangan dan keluar pada sebelah malam.

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, berdasarkan siasatan pegawai di lapangan mengesyaki haiwan tersebut berkemungkinan anjing berdasarkan tapak kaki.

Sebahagian penduduk dan pemilik kebun menunjukkan salah satu perangkap yang dipasang Perhilitan di Kampung Sungai Balai Darat di sini pada Selasa.
Sebahagian penduduk dan pemilik kebun menunjukkan salah satu perangkap yang dipasang Perhilitan di Kampung Sungai Balai Darat di sini pada Selasa.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, kita telah memasang sebuah perangkap beruang dan sebuah lagi perangkap babi hutan berhampiran lokasi kejadian.

"Kita minta orang ramai maklum segera kepada Perhilitan jika ternampak hidupan liar seperti yang setengah pihak kata beruang dan jangan cuba bertindak sendiri," katanya.

Sebelum ini, kejadian berkenaan tular di media sosial menunjukkan gambar tapak kaki haiwan berkenaan dan beberapa pokok yang dirosakkan haiwan terbabit.