Dadah buat manusia jadi lebih gila daripada haiwan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MENGUCAP panjang Merak Jalanan apabila baca berita satu pasangan warga emas mati dibunuh anak sendiri. Seriau bulu roma.

Ujian saringan air kencing si anak itu didapati positif dadah. Bukan satu tapi tiga jenis bahan terlarang itu diambilnya.

Bila dadah menguasai otak dan pemikiran manusia, dia akan jadi gila malah lebih gila daripada haiwan.

Itulah bahana bila jadi hamba najis dadah dan darjat manusia akan jatuh dalam lembah kehinaan paling dalam.

Kes ngeri kelmarin itu bukan pertama kali berlaku. Sebelum ini pun ada macam-macam kes pembunuhan ahli keluarga sendiri oleh mangsa yang merupakan penagih tegar ini.

Tahun lepas Merak ada baca berita kes di Kuala Selangor, anak penggal kepala ibu sendiri sebab hilang akal dek pengaruh dadah. Tahun lepas juga ada kes anak tikam ibu dalam keadaan khayal dadah jenis syabu.

Memang dunia jadi semakin huru-hara dan porak peranda angkara dadah ini. Sebab itulah kerajaan sejak berpuluh tahun sudah isytiharkan bahawa penyalahgunaan dadah adalah musuh utama yang merosakkan masyarakat dan negara.

Hanya satu punca masalah, ia akan membarah menjadi 1001 masalah lain, bukan hanya kepada si penagih dadah itu sahaja tapi kepada seluruh ahli keluarga, masyarakat sekitar dan negara.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan dan pihak berkaitan kena lebihkan usaha untuk terus membanteras isu pengedaran dan penyalahgunaan dadah ini terutamanya dadah sintetik yang cukup berbahaya dalam mempengaruhi dan merosakkan jasad serta minda si penagih.

Kita sebagai masyarakat juga perlu turut sama berganding bahu dengan kerajaan dan agensi penguat kuasa supaya mereka mampu menjadi mata dan telinga dalam membasmi najis dadah ini.

Memang usaha untuk menghapuskan penyalahgunaan dadah ini bukan satu kerja yang mudah, namun penting dilakukan.