Suspek tikam mati ibu, bapa positif tiga jenis dadah

Allaudeen mengadakan sidang akhbar di IPD Brickfields pada Ahad.
Allaudeen mengadakan sidang akhbar di IPD Brickfields pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang menikam ibu bapanya dalam kejadian pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala di sini, malam Sabtu, didapati positif tiga jenis dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, hasil saringan air kencing, suspek berusia 42 tahun didapati positif dadah amphetamine, methamphetamine dan morphine.

"Semakan lanjut pihak polis mendapati suspek mempunyai sembilan rekod kes jenayah dadah sejak Januari 2016 hingga November lalu.

"Suspek pernah ditangkap pada 30 November lalu di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 1 Disember lalu, dia diberikan jaminan mahkamah sebanyak RM2,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Bricksfields di sini pada Ahad.

Lokasi kejadian suami isteri ditikam anak di Kampung Sungai Penchala.
Lokasi kejadian suami isteri ditikam anak di Kampung Sungai Penchala.

Allaudeen berkata, dalam kejadian jam 7.43 malam itu, pasangan suami isteri berusia 72 dan 82 tahun ditemui terbaring berlumuran darah ditikam di ruang tamu rumah berkenaan.

"Sepasukan anggota polis melakukan gerakan mengesan dan suspek berjaya diberkas di terowong Penchala Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) pada jam 10.30," katanya.

Difahamkan suspek cuba melarikan diri sejauh 100 meter dari rumah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Allaudeen berkata, pihaknya telah merampas satu mata pisau, dua hulu pisau, satu topi keledar, sebuah meja kayu dan sebatang kayu yang disyaki digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.

"Kita turut merampas sepasang kasut berwarna hitam dipercayai milik suspek," katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Jenazah lelaki yang juga pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan isterinya (suri rumah) dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat," katanya.