Kes tikam peniaga: Polis tahan tiga rakan rapat mangsa

Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital selepas ditikam 27 kali di seluruh badannya dalam kejadian petang Selasa. Gambar kecil: Saravanan
Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital selepas ditikam 27 kali di seluruh badannya dalam kejadian petang Selasa. Gambar kecil: Saravanan
A
A
A

GEORGE TOWN - Tidak sampai 24 jam, polis berjaya menahan tiga suspek yang merupakan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes seorang peniaga nasi ditikam 27 kali dalam kejadian pada malam Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V Saravanan berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan di sekitar Jelutong pada jam 7.30 malam, Selasa.

Menurutnya, kesemua suspek direman tiga hari sehingga 8 Disember ini untuk siasatan lanjut.

"Kita mendapat perintah reman selama tiga hari untuk menjalankan siasatan ke atas kesemua suspek.

"Ketiga-tiganya berusia lingkungan 29 hingga 42 tahun akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek merupakan rakan rapat mangsa.

Pada petang Selasa, seorang peniaga nasi ekonomi di Pasar Awam Jalan Perak maut apabila ditikam pada seluruh badannya di tempat meletak kenderaan di sebuah pangsapuri di Jalan Perak, di sini.

Mangsa berusia lingkungan 60-an disahkan meninggal dunia di hospital ketika sedang diberi rawatan.

Artikel Berkaitan:

Mangsa dipercayai diserang dua suspek yang mana salah seorangnya telah menikam mangsa manakala seorang lagi menunggu rakannya di atas motosikal.

Mangsa disahkan meninggal dunia kerana ditikam sebanyak 27 kali antaranya di dada, leher dan beberapa anggota badan yang lain dipercayai menggunakan pisau pendek.

Bagaimanapun, motif pembunuhan masih disiasat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!