Lebih 5,000 pekerja ekonomi gig di Melaka belum daftar SKSPS

Abd Razak (dua dari kiri) dan Poay Tiong (tiga dari kiri) ketika menyampaikan Faedah Skuad PERKESO Prihatin kepada waris OB di Rumah Pangsa Jalan Gajah Berang pada Isnin.
Abd Razak (dua dari kiri) dan Poay Tiong (tiga dari kiri) ketika menyampaikan Faedah Skuad PERKESO Prihatin kepada waris OB di Rumah Pangsa Jalan Gajah Berang pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka mengesan hampir 5,500 orang dari sektor ekonomi gig di negeri ini belum berdaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarah PERKESO negeri, Abd Razak Omar berkata, jumlah itu mewakili hampir 30 peratus mereka yang terdiri daripada sektor penghantaran makanan (p-hailing) dan pengangkutan penumpang (e-hailing) yang belum menyediakan perlindungan di bawah skim berkenaan.

Menurutnya, PERKESO akan mempergiatkan usaha mengenal pasti mereka termasuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap majikan atau penyedia perkhidmatan ekonomi gig yang gagal memastikan semua pekerja mereka dilindungi di bawah skim tersebut.

"Kita akan menjalankan penguatkuasaan bersama agensi pengangkutan bagi mewajibkan pekerja gig mendaftar di bawah SKSPS.

"Diharap mereka mengambil peluang dengan pengumuman yang dibuat kerajaan berhubung 80 peratus subsidi mencarum skim tersebut agar kebajikan mereka terjaga," katanya.

Abd Razak berkata demikian selepas program Penyampaian Faedah Skuad PERKESO Prihatin kepada waris orang berinsurans (OB), Ong Sai Guan di Rumah Pangsa Jalan Gajah Berang di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Tambah Abd Razak, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan sesi libat urus untuk memastikan 100 peratus penggiat industri terbabit mempunyai perlindungan skim berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Penting untuk kita pastikan golongan bekerja sendiri ini mampu mencarum bagi membolehkan mereka menerima manfaat yang besar jika ditimpa musibah," katanya.

Bermula Januari tahun ini hingga Oktober lalu telah direkodkan sebanyak 9,768 orang bekerja sendiri di bawah skim SKSPS.

Manakala bilangan kes tuntutan kemalangan membabitkan 141 kes dengan jumlah bayaran RM418,917.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!