Banjir: 475 petani Terengganu terjejas, rugi RM3.3 juta

Antara tanaman padi di Besut yang musnah akibat bencana banjir melanda Terengganu pada 20 November lalu. Gambar kecil: Zulkepli
Antara tanaman padi di Besut yang musnah akibat bencana banjir melanda Terengganu pada 20 November lalu. Gambar kecil: Zulkepli
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Sektor pertanian di Terengganu dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM3.257 juta selepas gelombang pertama banjir melanda negeri itu pada pertengahan November lalu.

Pengarah Pertanian Terengganu, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, daripada jumlah itu, RM2.3 juta melibatkan kemusnahan tanaman padi sementara RM872,700 melibatkan sektor agromakanan.

Menurutnya, kemusnahan yang berlaku itu melibatkan seramai 475 orang petani dan pesawah yang mengusahakan tanaman tersebut dengan jumlah keluasan 1,037.26 hektar.

"Bagi tanaman padi, seramai 331 yang terjejas melibatkan tanaman seluas 732 hektar manakala selebihnya dalam sektor agromakanan melibatkan keluasan tanaman 285 hektar.

"Kesemua mereka yang terlibat ini dari daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Setiu dan Besut," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, mereka yang terjejas boleh memohon bantuan sama ada melalui kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

"Bantuan bagi kemusnahan tanaman padi akibat bencana banjir ini disalurkan oleh kerajaan Pusat di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi.

"Bagi petani yang mengusahakan sektor agromakanan lain pula, mereka boleh memohon bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri di bawah Tabung Bencana Pertanian," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Zulkipli berkata, persediaan awal untuk berdepan bencana banjir telah dibuat bagi meminimumkan kerugian namun terdapat beberapa faktor menyebabkan ia tidak dapat dielak.

"Kita akan ambil langkah untuk jangka panjang bagi mengelak daripada kemusnahan tanaman akibat bencana ini menjadi lebih serius.

"Dengan insentif yang kita beri ini mereka diharap boleh bangkit kembali dan memulakan semula kerja-kerja dalam bidang yang diusahakan," katanya.

Banjir gelombang pertama melanda Terengganu pada 20 November lalu melibatkan tujuh daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Besut, Marang, Dungun dan Kemaman.