Banjir Terengganu: Persiapan calon SPM tidak terganggu

Antara sekolah yang dinaiki air dalam bencana banjir gelombang pertama melanda Terengganu pada 20 November lalu.
Antara sekolah yang dinaiki air dalam bencana banjir gelombang pertama melanda Terengganu pada 20 November lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Persiapan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 5 Disember depan tidak terganggu berikutan bencana banjir yang melanda Terengganu ketika ini.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Azman Othman @ Abdullah berkata, pihaknya telah menyediakan pelan kontingensi bagi melancarkan proses pengurusan sepanjang bencana banjir.

Menurutnya, Taklimat Keselamatan Peperiksaan Awam telah dijalankan oleh Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan pada 26 Oktober lalu di samping kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (Rela) dan Penjara Malaysia.

"Semua agensi itu telah menyatakan peranan masing-masing dalam membantu JPNT jika berlaku sebarang bencana termasuk calon-calon SPM yang berisiko terjejas banjir.

"Semua Pejabat Pendidikan Daerah juga mempunyai pelan kontingensi banjir bagi persediaan calon-calon dan pusat-pusat peperiksaan yang dilanda banjir dan telah menyediakan bilik atau dewan peperiksaan alternatif di kawasan berisiko," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, pada Ahad.

Menurut Azman, calon SPM yang kini berada di sekolah-sekolah berasrama, mereka dinasihatkan supaya tidak pulang ke rumah pada hujung minggu bagi mengelakkan risiko terkandas dan tidak dapat hadir ke dewan peperiksaan akibat banjir.

Azman
Azman

"Kita menyediakan makan minum serta kebajikan akan diuruskan oleh pihak sekolah agar mereka dapat menduduki peperiksaan dengan tenang dan selamat.

Artikel Berkaitan:

"Calon SPM di sekolah yang ditutup akibat banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) pula alan terus mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)," katanya.

Seramai 18,492 calon SPM yang akan menduduki peperiksaan itu di 176 pusat peperiksaan di seluruh negeri bermula 5 Disember depan.

Daripada jumlah itu, 5,301 calon akan menduduki ujian Amali Sains pada 5 hingga 7 Disember melibatkan subjek Fizik diikuti Kimia, Biologi dan Sains Tambahan di 138 pusat peperiksaan.