Selangor kutip hasil RM2.571 bilion

Amirudin Shari - Foto fail Bernama
Amirudin Shari - Foto fail Bernama
A
A
A

KLANG - Selangor berjaya meraih kutipan hasil berjumlah RM2.571 bilion sehingga 6 Disember lepas, meningkat 128 peratus daripada sasaran RM2 bilion yang ditetapkan pada tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Jumlah berkenaan adalah manifestasi dan bukti kesungguhan barisan penjawat awam dan anggota pentadbiran kerajaan negeri bagi memacu ekonomi Selangor selain meningkatkan hasil demi manfaat rakyat jelata, katanya.

Beliau berkata, pada tahun lepas sumbangan Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia terus meningkat kepada 25.5 peratus, sekali gus meningkatkan peranannya sebagai negeri penyumbang lebih satu perempat kepada kepada KDNK negara.

"Malah, pencapaian ini menggambarkan keyakinan komuniti pelaburan serta rakyat tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) terhadap sikap dan kebertanggungjawaban kerajaan tuanku dalam merencanakan dan mengagihkan kekayaan negeri secara efektif dan bersasar," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan sembah ucapan taat setia pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini, pada Isnin.

Amirudin turut berkongi mengenai usaha Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) di kawasan seluas 16,187 hektar yang menyaksikan kerajaan negeri merancang serta memudahcara pembangunan di kawasan baharu di selatan negeri berkenaan.

"Kerajaan tuanku berhasrat mewujudkan perbandaran baharu di kawasan IDRISS ini sepertimana Shah Alam dan Bangi, terutamanya untuk anak-anak Melayu dan rakyat jelata pelbagai kaum menumpang teduh di bumi Selangor yang bertuah ini," katanya.

Selain itu, kerajaan negeri akan memulakan proses Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama yang akan menggariskan beberapa inisiatif pembugaran ekonomi seperti pembangunan Dron Selangor dan Pusat Kecerdasan Buatan Selangor.

Artikel Berkaitan:

Amirudin berkata, kajian itu melibatkan pelan pengukuhan sistem pengangkutan awam dengan membangunkan Jajaran Rel Kita Selangor dari kawasan Klang ke Kuala Selangor dan kemudiannya ke Tanjong Karang dan Sabak Bernam bagi membolehkan rakyat menetap di kawasan Pantai Barat mendapat akses ke atas kawasan ekonomi maju di Lembah Klang dan Kuala Lumpur. - Bernama