RM35,000 untuk setiap asnaf bina perniagaan - Zakat Selangor

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) memperuntukkan kira-kira RM35,000 bagi setiap peserta program Kolaborasi Asnaf Berdaya Saing (KOLAB) sebagai usaha melahirkan usahawan dalam kalangan golongan itu yang mampu berdikari sehingga menjadi pembayar zakat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata, seramai 30 peserta disasarkan menyertai kumpulan pertama program itu membabitkan tiga sektor perniagaan terpilih dengan jumlah peruntukan keseluruhan kira-kira RM1.05 juta.
Menurutnya, peserta akan mengikuti program selama enam bulan hingga setahun menerusi kerjasama rakan industri yang menyediakan latihan, bimbingan, modal serta peluang membina rangkaian perniagaan.
"Zakat Selangor mengharapkan apabila mereka mengikuti program ini, peserta akan mendapat nilai tambah secara langsung seterusnya memasuki pasaran lebih terbuka.
"Malah, terdapat permintaan tinggi bagi industri yang sudah kita kenal pasti ini sekali gus membolehkan peserta memperoleh hasil lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Transformasi Usahawan Asnaf Selangor (TUAS) 2026 dan Pelancaran KOLAB di sini pada Khamis.
Menerusi KOLAB, Zakat Selangor memperkenalkan tiga projek rintis dalam sektor perkhidmatan serta pengeluaran makanan dan minuman dengan sasaran penyertaan 30 asnaf fakir dan miskin dari sembilan daerah di Selangor.
Program itu menyediakan latihan kemahiran, peralatan dan stok permulaan selain bimbingan secara langsung daripada rakan industri bagi tempoh enam bulan.
Setiap projek menyasarkan 10 peserta yang akan terlibat dalam pengurusan operasi, pengeluaran, pemasaran dan jualan bagi membolehkan mereka membina kemahiran serta menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan sebenar.
Mengulas lanjut, Mohd Khaidzir berkata, pemilihan tiga sektor itu dibuat berdasarkan potensi pasaran selain mengambil kira latar belakang, kemampuan dan lokasi tempat tinggal peserta.
Katanya, antara sektor dikenal pasti ialah perusahaan kerepek yang mempunyai kelebihan dari segi ketahanan produk dan pemasaran, perkhidmatan terapi mempunyai permintaan selain pengeluaran jus nanas merangkumi rantaian ekosistem pertanian, logistik serta pembuatan.
Menurutnya, pendekatan KOLAB bukan sekadar memberikan modal perniagaan, sebaliknya memastikan peserta menerima sokongan bersesuaian dengan keperluan masing-masing termasuk peralatan, kenderaan dan bantuan tunai bagi menampung keperluan asas kehidupan.
Beliau berkata, Zakat Selangor juga tidak akan mengeluarkan peserta daripada kategori asnaf secara tergesa-gesa walaupun mereka menunjukkan peningkatan pendapatan kerana kestabilan kewangan perlu dipastikan terlebih dahulu.
"Kita akan memantau mereka secara berterusan sehingga yakin pendapatan yang diperoleh bukan bersifat sementara atau sekali sahaja, sebaliknya benar-benar mampan.
"Zakat Selangor akan maklumkan lebih awal kepada usahawan apabila mereka dilihat sudah mampu berdikari supaya mereka bersedia untuk memberi peluang kepada asnaf lain pula.
"Hasrat kita bukan sahaja mereka keluar daripada kategori asnaf, tetapi akhirnya menjadi pembayar zakat," tambah beliau.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, prestasi pembangunan usahawan asnaf Zakat Selangor menunjukkan peningkatan apabila 70 peratus daripada mereka mencatat pertambahan pendapatan pada tahun ini berbanding 64 peratus pada tahun sebelumnya.
Katanya, pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif program keusahawanan yang dilaksanakan Zakat Selangor dengan kerjasama Teras, sebuah syarikat di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
KOLAB yang dilaksanakan mulai November ini hingga Jun tahun depan itu turut menetapkan penilaian berdasarkan peningkatan pendapatan, keuntungan dan keupayaan peserta meneruskan perniagaan secara berdikari selepas tamat tempoh bimbingan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

