Sumber air mentah LRA Sungai Linggi berbau diesel, tiga daerah terjejas

Pengeluaran sumber air mentah di LRA Sungai Linggi dihentikan kerana berbau diesel.
Pengeluaran sumber air mentah di LRA Sungai Linggi dihentikan kerana berbau diesel.
A
A
A

SEREMBAN - Sebahagian kawasan di daerah Port Dickson, Seremban dan Rembau mengalami masalah gangguan dan ketiadaan bekalan air berikutan terdapat masalah sumber air mentah berbau diesel di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi.

Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) dalam satu kenyataan memaklumkan, pengeluaran air dari loji rawatan tersebut terpaksa dihentikan untuk menepati piawaian kualiti air minum kebangsaan.

"Setakat jam 10 pagi tadi, Loji Rawatan Air Sungai Linggi masih belum beroperasi kerana air mentah masih lagi berbau dengan bacaan dua ton.

"Antara kawasan yang terjejas di daerah Port Dickson termasuklah sebahagian kawasan Batu 6 Jalan Pantai, Batu 4 Jalan Pantai, Jalan Sua Betong, Air Kuning dan sekitar kawasan pekan Port Dickson," kata kenyataan itu pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan operasi LRA Sungai Linggi di sini terpaksa dihentikan buat sementara waktu selepas terdapat aduan air Sungai Linggi di muka sauk LRA tersebut berbau diesel.

Kenyataan Sains berhubung penutupan LRA Sungai Linggi.
Kenyataan Sains berhubung penutupan LRA Sungai Linggi.

Tambah kenyataan itu, kawasan lain turut terlibat adalah sekitar kawasan Lukut, Simpang Bukit Palong, Chuah, Bukit Pelandok sehingga Tanah Merah Site A.

"Di Seremban pula, kawasan yang terjejas melibatkan kawasan Rantau, Jalan Sungai Gadut sehingga Taman Pinggiran Senawang. manakala di Rembau melibatkan seluruh kawasan Kampung Kundur, Kampung Pedas Hilir, Taman Pedas Perdana, Taman Pinggiran Pedas, Taman Pedas Indah, Ulu Kanchong dan kawasan sekitar.

Artikel Berkaitan:

“Bagi mengurangkan gangguan kepada para pengguna, Sains telah menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki dan menempatkan tangki-tangki statik di kawasan terlibat,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa berkata, pihaknya menerima notis daripada Sains mengenai gangguan bekalan air itu pada jam 10 malam Sabtu.

“Saya dimaklumkan terdapat bau minyak diesel di LRA Sungai Linggi malam tadi, dan pagi tadi saya menghubungi Sains dan diberitahu masih terdapat bau berkenaan dan tidak boleh jangka bilakah gangguan bekalan air dapat dipulihkan,” katanya.

Tambah beliau, ini merupakan kejadian kedua dalam tempoh sebulan berlaku di LRA tersebut.