Angka kematian di Palestin meningkat kepada 17,674 orang

Angka kematian penduduk Palestin susulan serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat meningkat kepada 17,674 orang. Foto: AFP
Angka kematian penduduk Palestin susulan serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat meningkat kepada 17,674 orang. Foto: AFP
A
A
A

RAMALLAH - Angka kematian penduduk Palestin susulan serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat meningkat kepada 17,674 orang dengan lebih 49,300 orang cedera, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut kemas kini terkini Kementerian Kesihatan sebanyak 17,400 kematian dilaporkan di Semenanjung Gaza manakala 274 kematian lagi di Tebing Barat dengan 46,000 rakyat Palestin cedera di Gaza dan hampir 3,300 lagi di Tebing Barat.

Jumaat sahaja menyaksikan sekurang-kurangnya 300 orang awam terbunuh dalam pengeboman tanpa henti Israel di Gaza.

Menurut kenyataan kementerian kesihatan sektor kesihatan di Gaza mengalami krisis dengan 55 ambulans tidak berfungsi manakala pusat penjagaan kesihatan ditutup akibat pengeboman berterusan dan kekurangan bahan api.

Penyakit berjangkit, termasuk cirit-birit, jangkitan pernafasan dan Hepatitis A semakin meningkat di pusat perlindungan Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang memberi kesan kepada kumpulan rentan seperti orang kurang upaya, mereka yang cedera dan wanita hamil.

Sementara itu, di Tebing Barat tentera penceroboh Israel semakin kerap menjadikan hospital, pusat kesihatan, ambulans dan pasukan perubatan sebagai sasaran serangan.

Kenyataan itu memaklumkan serangan peneroka haram Yahudi juga berterusan dengan 308 kes direkodkan sejak konflik bermula pada 7 Oktober.

Insiden itu mengakibatkan kecederaan, kerosakan harta benda selain sebanyak 143 keluarga Palestin hilang tempat tinggal, termasuk 1,014 individu dan 388 kanak-kanak. - Bernama

Artikel Berkaitan: