Pakaian Zayn Rayyan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis

Lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan Abdul Mattin, 6, yang berada sejauh 200 meter dari kediamannya di Apartment Idaman Damansara Damai, pada Rabu. - Foto Bernama
Lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan Abdul Mattin, 6, yang berada sejauh 200 meter dari kediamannya di Apartment Idaman Damansara Damai, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Pakaian yang dipakai oleh kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, ketika mayatnya ditemukan di aliran anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai di sini telah diserahkan ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengumpul maklumat dan mencari petunjuk baharu yang boleh membantu siasatan berhubung kematian kanak-kanak berusia enam tahun itu.

"Maklumat yang diperoleh polis pada masa ini sangat terhad dan kami sedang bekerja keras mengumpul maklumat yang boleh membantu siasatan selain menunggu keputusan analisis forensik daripada Jabatan Kimia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hussein berkata, sehingga kini polis sudah merakam keterangan 20 individu termasuk ibu bapa mangsa dan lelaki yang menjumpai mayat Zayn Rayyan,pada Rabu lepas.

Selain itu, katanya, polis juga mengambil maklumat dari rumah ke rumah di tiga daripada 18 blok kediaman yang ada di kawasan perumahan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis tidak dapat mendedahkan hasil keseluruhan laporan hasil bedah siasat Zayn Rayyan, 6, kepada umum kerana ia mungkin mengganggu siasatan.

Beliau berkata, polis perlu menjaga kerahsiaan setiap maklumat yang diperoleh supaya satu siasatan yang telus dapat disiapkan.

"Namun apabila polis memperoleh maklumat yang boleh dikongsikan, sudah pasti Ketua Polis Selangor (Datuk Hussein Omar Khan) akan maklumkannya,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini tular tangkap layar yang dimuat naik di laman TikTok memaparkan mengenai keadaan mayat Zayn Rayyan ketika ditemukan kumpulan penduduk yang membantu operasi mencarinya.

Kanak-kanak malang berkenaan yang dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai ditemukan maut dalam aliran anak sungai berhampiran kediamannya pada keesokannya, iaitu kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai. - Bernama