Penyokong minta TFC kemukakan bantahan terhadap pengadil


Pemain TFC meraikan gol yang dihasilkan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara JDT dan TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
Pemain TFC meraikan gol yang dihasilkan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara JDT dan TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PENYOKONG Terengganu FC (TFC) meluahkan rasa kecewa dengan mutu pengadilan yang didakwa berat sebelah pada perlawanan akhir Piala Malaysia hingga menyaksikan TFC tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Rata-rata penyokong skuad Penyu itu meminta TFC supaya mengemukakan bantahan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung beberapa tindakan pengadil, S Logeswaran yang dikatakan 'bias' selain mahu tindakan tegas dikenakan terhadap pengadil berkenaan.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu Darul Iman (TFFC), Wan Mohd Hafizul Nik Anuar berkata, dia berasa kecewa dengan mutu pengadilan yang disifatkan tidak adil termasuk penalti daripada pihak lawan serta tindakan pengadil tidak melayangkan kad kuning kepada pemain JDT.

"Mutu pengadilan ini sudah lama jadi isu.

"FAM dan MFL kena ambil tindakan sewajarnya.

"Sepatutnya pihak pengurusan TFC buat bantahan tentang isu ini dan kami sebagai kelab penyokong akan beri sokongan sepenuhnya berhubung tindakan tersebut.

"Walau buat bantahan pun, keputusan (kemenangan) tidak boleh diubah tetapi sekurang-kurangnya ada tindakan daripada pihak TFC sendiri untuk pastikan masalah ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:


Wan Mohd Hafizul (kiri) ketika hadir memberi sokongan kepada TFC pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Wan Mohd Hafizul (kiri) ketika hadir memberi sokongan kepada TFC pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Hafizul berkata, dia memberi pujian kepada semangat pemain TFC yang melakukan aksi terbaik meskipun berhadapan cabaran termasuk keadaan padang yang rosak dan cuaca hujan.

"Kita sokong dan puji pemain yang lakukan sehabis mungkin untuk menang.

"Kalau kita rasa keadaan padang pun dah berat (sukar) tapi bila tengok tindakan pengadil pada perlawanan malam tadi lagilah berat (mencabar)," ulasnya.

Sementara itu, seorang penyokong, Mohamad Faizal Gazali, 35, turut mempersoalkan tindakan Logeswaran sebagai pengadil yang dilihat berat sebelah apabila tidak melayangkan kad kuning kedua kepada pemain JDT meskipun telah melakukan terjahan kasar kepada pemain TFC.


Mohamad Faizal
Mohamad Faizal

"Mutu pengadilan itu sangat berat sebelah.

"Sudahlah keadaan padang pun berlopak dan rosak, mutu pengadilan tu biarlah memuaskan.

"Saya harap selepas ini untuk mana-mana perlawanan piala bola sepak akan datang, kalau boleh ambil pengadil yang betul-betul berkualiti dan tidak bias.

"Nak ambil pengadil dari luar pun tak apa asalkan mutu pengadilan itu bagus," ulasnya.

Seorang lagi penyokong, Mazuki Muhamad, 45, berkata, dia menerima kekalahan tersebut, namun mengharapkan supaya pengurusan TFC melakukan bantahan untuk menegakkan keadilan bagi memastikan insiden sedemikian tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

Kelab Penyokong TFFC menggesa TFC supaya mengemukakan bantahan kepada FAM dan MFL berhubung beberapa tindakan pengadil yang didakwa bias pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada Jumaat.
Kelab Penyokong TFFC menggesa TFC supaya mengemukakan bantahan kepada FAM dan MFL berhubung beberapa tindakan pengadil yang didakwa bias pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada Jumaat.

"Ini final Piala Malaysia bukan liga peringkat kampung.

"Jadi jika tiada bantahan maka perkara ini tidak akan pernah selesai dan akan berulang lagi pada masa akan datang.

"Bagaimanapun, saya amat bangga dengan pasukan TFC kerana pamerkan semangat juang dan saingan hebat pada pasukan lawan meskipun perlu berhadapan mutu pengadilan berat sebelah," jelasnya.

Antara penyokong TFC yang hadir memberikan sokongan kepada skuad Penyu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Antara penyokong TFC yang hadir memberikan sokongan kepada skuad Penyu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Pada Jumaat, JDT berjaya memastikan Piala Malaysia kekal di bumi Johor selepas menewaskan TFC 3-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan itu menyaksikan JDT meletakkan penanda aras baharu apabila menjadi pasukan pertama memenangi empat piala iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia dalam satu musim buat kali kedua berturut-turut.