Final Piala Malaysia: Kena ada VAR - Steinbruckner

Aksi pemain JDT, Heberty Fernandes diasak pemain TFC, Habib Haroon pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara JDT dan TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Bernama
Aksi pemain JDT, Heberty Fernandes diasak pemain TFC, Habib Haroon pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara JDT dan TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Bernama
A
A
A

SISTEM Video Bantuan Pengadil (VAR) seharusnya menjadi satu keperluan selepas beberapa keputusan pengadil menjadi bahan pertikaian ketika aksi final Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner berkata, keputusan pengadil menghadiahkan tiga penalti selain beberapa insiden mungkin boleh disemak semula sekiranya mempunyai VAR.

"Mungkin satu idea yang baik untuk menggunakan sistem VAR kerana dengan tiga penalti, pengadil boleh menyemaknya semula. Kita juga lihat ada beberapa cabaran yang dilakukan pada aksi final ini.

"Saya fikir mungkin beberapa lagi kad kuning patut dilayangkan kepada pertahanan JDT. Tetapi saya tidak mahu bercakap terlalu banyak mengenai pengadil," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, pengadil S Logeswaran membuat beberapa keputusan yang menimbulkan persoalan terutama penalti pertama JDT yang didakwa kekasaran yang terlalu 'lembut' dilakukan Azam Azmi Murad ke atas Fernando Forestieri.

Selain itu, beberapa insiden kekasaran yang dilakukan pemain JDT ke atas pemain TFC yang mungkin perlu dihadiahkan kad kuning.

Bagaimanapun, Steinbruckner berbangga dengan aksi yang dipamerkan para pemainnya biarpun tewas 1-3 kepada JDT yang sememangnya diketahui memiliki kualiti yang lebih baik.

Menurutnya, para pemain TFC memberikan segalanya dalam perlawanan itu dan juga mampu menyaingi lawan.

Artikel Berkaitan:

"Tahniah kepada pemain saya yang beraksi dengan baik dan tahniah juga kepada JDT kerana memenangi perlawanan malam ini," katanya.