JDT benam cabaran TFC, pertahan Piala Malaysia

Pemain JDT meraikan kemenangan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara JDT dan TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto: Bernama
Keputusan penuh perlawanan JDT 3-1 TFC.
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemain JDT meraikan kemenangan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara JDT dan TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto: Bernama Keputusan penuh perlawanan JDT 3-1 TFC. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berjaya memastikan Piala Malaysia kekal di bumi Johor selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Kemenangan itu menyaksikan JDT meletakkan penanda aras baharu apabila menjadi pasukan pertama memenangi empat piala iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia dalam satu musim buat kali kedua berturut-turut.

Malah, Harimau Selatan juga menyamai rekod Kedah yang memenangi 'double treble' pada 2007 dan 2008.

Skuad Harimau Selatan itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti pada minit keempat perlawanan.

Ia selepas pertahanan TFC, Muhammad Azam Azmi Murad mengasari Fernando Forestieri dalam kotak penalti.

Peledak berbisa JDT, Bergson da Silva tidak berdepan masalah untuk menyudahkan penalti tersebut meletakkan anak buah Esteban Solari itu di depan.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Bergson Gustavo meraikan gol pertama pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pasukan JDT menentang pasukan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto: Bernama
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Bergson Gustavo meraikan gol pertama pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pasukan JDT menentang pasukan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto: Bernama

Bagaimanapun, TFC berjaya menyamakan kedudukan juga menerusi penalti selepas Ivan Mamut dijatuhkan oleh Jordi Amat pada minit ke-20.

Artikel Berkaitan:

Mamut tenang menyempurnakan penalti tersebut untuk menewaskan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Bergson hampir meletakkan JDT sekali lagi di hadapan menerusi percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-33 namun diselamatkan Mohd Suhaimi Husin.

Separuh masa kedua menyaksikan perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang mencipta jaringan.

Mamut berpeluang untuk menambah jaringan selepas menerima hantaran daripada sepakan percuma Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-64, namun Ahmad Syihan lebih bersedia untuk menyelamatkan percubaan itu.

JDT perlu menunggu sehingga minit ke-72 untuk mendapatkan gol kedua menerusi pemain gantian Muhammad Feroz Baharudin yang menanduk hantaran Heberty Fernandes.

Usaha TFC untuk memburu gol penyamaan berkecai apabila JDT sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti setelah Arif Aiman Hanapi dikasari oleh Muhammad Shahrul Nizam pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Arif Aiman tidak mensiakan peluang meledak gol ketiga JDT sekali gus membolehkan Harimau Selatan merangkul piala berprestij itu buat kali keempat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!