Berang disuruh perlahankan suara, lelaki mabuk amuk dengan parang

Seorang lelaki ditahan polis selepas mengacu parang dalam keadaan mabuk di sebuah gerai burger di Bestari Jaya pada Rabu lalu.
Seorang lelaki ditahan polis selepas mengacu parang dalam keadaan mabuk di sebuah gerai burger di Bestari Jaya pada Rabu lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis menahan seorang lelaki yang mengacu parang dalam keadaan mabuk di sebuah gerai burger berhadapan dobi layan diri di Bestari Jaya pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, kejadian kira-kira jam 9.50 itu berlaku apabila suspek membuat bising di gerai tersebut dan meminta wang daripada salah seorang pelanggan serta penjual burger.

Menurut beliau, suspek dikatakan tidak berpuas hati dan berang selepas ditegur pelanggan berusia 30 tahun supaya memperlahankan suara.

"Lelaki tersebut kemudian menuju ke kereta dan mengeluarkan parang panjang dan terus mengejar pelanggan terbabit yang sempat melarikan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Ramli berkata, akibat tidak dapat mengejar mangsa, suspek yang marah kemudian menghayun parang ke tempat duduk motosikal di gerai burger berkenaan.

"Tindakan suspek menyebabkan sarung tempat duduk motosikal tersebut koyak dan orang awam yang menyaksikan kejadian itu menghubungi polis," katanya.

Menurut beliau, suspek telah ditahan sepasukan anggota unit kereta peronda (MPV) polis di tempat kejadian pada hari sama dan turut merampas senjata digunakan.

"Tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," ujar beliau.

Video memaparkan lelaki tersebut mengacu parang kepada pelanggan dan peniaga di gerai burger itu turut tular di media sosial.