Lelaki hilang ditemui maut dalam kereta terbabas

Anggota bomba menemui mayat seorang lelaki di dalam kawasan semak. Gambar kanan: Keadaan kereta mangsa. - Foto: PDRM
Anggota bomba menemui mayat seorang lelaki di dalam kawasan semak. Gambar kanan: Keadaan kereta mangsa. - Foto: PDRM
A
A
A

KOTA TINGGI – Misteri kehilangan seorang lelaki yang sudah dua hari tidak pulang ke rumah terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam sebuah kereta di bahu kiri jalan di Kilometer (KM) 16 Jalan Bandar Penawar-Punggai pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam mengenai penemuan kereta terbabit pada jam 8.30 pagi Sabtu yang terbabit dalam kemalangan.

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja dan seorang lelaki ditemui di dalam kereta terbabit.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang juga pemandu kereta jenis Proton Waja itu dalam perjalanan dari Bandar Penawar menghala ke Punggai.

“Apabila sampai di jalan berselekoh di KM16, lelaki terbabit dipercayai mengantuk sebelum hilang kawalan dan terbabas masuk lebih kurang 40 meter ke dalam kawasan semak di bahu kiri jalan menghala ke Pulai. Mangsa juga didapati meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkuan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca kejadian sebenar.

Sementara itu, Hussin berkata, hasil soal siasat bersama waris, mangsa dikatakan sudah dua hari tidak pulang ke rumah.

Beliau berkata, pihak waris serta serta beberapa orang awam telah keluar mencari mangsa sehinggalah ditemui di kawasan semak dalam sebuah kereta sekitar jam 8.30 pagi.

“Selain itu, tiada unsur-unsur jenayah ditemui dan dalam siasatan kes mendapati mangsa telah terbabas dengan sendirinya semasa memandu,” katanya.