Penghantar makanan rugi lebih RM75,000 ditipu pelaburan tak wujud

Lelaki berusia 50-an itu pada mulanya terlihat sebuah skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan diiklankan menerusi laman Facebook pada 10 September lepas. - Gambar hiasan
Lelaki berusia 50-an itu pada mulanya terlihat sebuah skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan diiklankan menerusi laman Facebook pada 10 September lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Seorang penghantar makanan kerugian RM75,300 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 50-an itu pada mulanya terlihat sebuah skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan diiklankan menerusi laman Facebook pada 10 September lepas.

Tertarik dengan skim itu, beliau berkata, mangsa telah menekan satu pautan iklan dan kemudian berhubung melalui aplikasi WhatsApp dengan seorang ejen bernama Susan yang memberikan penjelasan berkenaan pelaburan terbabit.

"Pada 24 September, suspek telah memasukkan nombor telefon mangsa ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan atas nama Global Live Road Show yang mempromosikan pelaburan saham modal dan meminta mangsa memuat turun aplikasi Bain Online serta membuat bayaran bagi memulakan pelaburan.

"Mangsa membuat pembayaran sebanyak enam kali transaksi ke dalam empat akaun syarikat bagi tujuan pelaburan pada tempoh 25 Oktober hingga 24 November. Mangsa mula merasa curiga apabila suspek memberikan pelbagai alasan setiap kali mangsa menghubunginya meminta untuk mengeluarkan wang pelaburan,” katanya.

Mangsa yang merasa tertipu membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu semalam dan satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah dibuka.

Zulkipli menasihati orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan selain berhati-hati dengan tawaran keuntungan atau pulangan yang tinggi.

Mereka boleh menyemak status sesuatu pelaburan dengan Bank Negara Malaysia atau merujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan mengikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM selain membuat semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule. - Bernama

Artikel Berkaitan: