Polis sekali lagi rakam keterangan ibu bapa Zayn Rayyan, individu jumpa mayat

Mohamad Fakhrudin - Foto Bernama
Mohamad Fakhrudin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sekali lagi mengambil keterangan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin pada Khamis bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, polis juga akan merekodkan keterangan beberapa pihak lain termasuk pengasuh Zayn Rayyan dan individu pertama yang menjumpai mayat kanak-kanak itu di aliran sungai berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Rabu lepas.

"Kita (polis) dalam proses mendapatkan keterangan secara fizikal dan apa-apa yang boleh membantu siasatan bagi mengesan suspek.

"Siasatan untuk mencari bukti juga akan tertumpu kepada keseluruhan kawasan apartmen ini dengan keluasan kira-kira lapan hektar selain terhadap penghuni Blok R di Apartmen Idaman yang berada dekat dengan lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau yang sebelum itu turut meninjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan memaklumkan setakat ini belum ada sebarang rumusan berkaitan kes berkenaan berikutan keputusan bedah siasat baharu diperoleh semalam.

Mohd Fakhrudin berkata, Apartmen Idaman mempunyai 18 blok dan lebih 2,400 unit rumah.

Mohamad Fakhrudin (kiri) meninjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Jumaat. - Foto Bernama
Mohamad Fakhrudin (kiri) meninjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Jumaat. - Foto Bernama

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan dikawal pihak polis dengan pita kuning larangan melintas dipasang di kawasan belukar dan anak sungai selain di Blok R di Apartmen Idaman untuk mengelak gangguan di kawasan kejadian.

Artikel Berkaitan:

Pasukan penyiasat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman turut kelihatan berada di kawasan kejadian sejak 9.30 pagi bagi mempergiat usaha mencari bukti terbaharu bagi melengkapkan siasatan.

Pada Khamis, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan Zayn Rayyan yang ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya dipercayai dibunuh selepas proses bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak malang itu.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dibunuh di lokasi lain dan dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya diletakkan di anak sungai terbabit. - Bernama

@sinarharianonline Replying to @wawa_anje02 Harapan keluarga untuk menemui Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang sudah lebih 24 jam hilang akhirnya tercapai pada Rabu malam, namun siapa sangka takdir Ilahi telah tertulis kanak-kanak itu tidak bernyawa lagi. Lebih mengejutkan, pihak polis kemudian mengesahkan kanak-kanak autisme itu mati akibat dibunuh. #SinarTerkini#SinarHarian#zaynrayyan#fyp#terkini original sound - Sinar Harian