DUN Perak lulus RUU Wasiat Orang Islam 2023

Saarani ketika menggulung perbahasan RUU Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 sempena Sidang DUN Perak pada Jumaat.
Saarani ketika menggulung perbahasan RUU Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 sempena Sidang DUN Perak pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 pada Jumaat selepas dibahas dan digulung selama dua hari sempena Mesyuarat Kelima Tahun Pertama DUN Perak.

Seramai enam ADUN melibatkan tiga wakil kerajaan iaitu Dr Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi), Salina Samsuddin (BN-Behrang) dan Ishsam Shahruddin (BN-Ayer Kuning).

Manakala tiga wakil pembangkang iaitu Mohd Akmal Kamarudin (PN-Selama), Nadziruddin Mohamed Bandi (PN-Changkat Jong) dan Mohd Fakhrudin Abd Aziz (PN-Kamunting) turut mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan sebelum penggulungan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sejurus selepas penggulungan, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan enakmen diluluskan bagi bacaan kali kedua dan ketiga selepas dipersetujui sebulat suara oleh semua ADUN.

RUU Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 yang mengandungi 10 bahagian, 39 fasal satu Jadual itu telah dibaca kali kedua dalam Persidangan DUN pada Khamis oleh Saarani.

Ketika membentangkan RUU tersebut, Saarani berkata, ia dibentangkan bertujuan mengadakan suatu undang-undang khusus berkenaan wasiat orang Islam bagi membolehkan kerajaan memberi panduan, mengurus tadbir dan mengawasi pembuatan serta pelaksanaan wasiat orang Islam di Perak secara berkesan.

Menurutnya, sebelum ini, semua perkara berhubungan wasiat orang Islam di Perak tidak diperuntukkan secara khusus dan terperinci dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 menjadi undang-undang utama yang hanya mengandungi peruntukan am berkaitan wasiat seperti kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk bertindak sebagai wasi iaitu orang yang dilantik untuk menguruskan harta pusaka serta melaksanakan hasrat dan arahan pewasiat bagi sesuatu wasiat.

"Proses memuktamadkan RUU Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 ini telah diperhalusi melalui kajian khusus dan terperinci berkaitan persoalan-persoalan teknikal hukum syarak oleh pasukan penyelidik yang dibentuk oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan turut dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal RUU Wasiat Orang Islam Negeri Perak serta Mesyuarat Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Syariah Negeri Perak.

Artikel Berkaitan:

"RUU Wasiat Orang Islam (Perak) 2023 telah diluluskan oleh Persidangan MAIPk Kali Ke-226 bertarikh 2 November 2023 dan kemudiannya telah diangkat untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 8 November 2023," katanya.

Sementara itu, ketika menggulung perbahasan, Saarani berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan garis panduan yang akan menjadi pelengkap kepada RUU tersebut sebagai rujukan kepada semua pihak, sama ada penyedia perkhidmatan wasiat, orang awam ataupun pihak berkuasa berkaitan.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik saranan oleh Abdul Aziz supaya kerajaan negeri melantik Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bagi menjalankan kajian secara komprehensif dengan menghimpunkan semua persoalan berkaitan pentadbiran harta orang Islam meliputi wasiat, pusaka dan hibah.

Katanya, kerajaan negeri mengambil pendirian terbuka bagi meneliti cadangan berkenaan untuk dibincangkan dan dipanjangkan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diperhalusi.

Sementara itu, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, Perak masih memiliki 13 lombong bijih timah di tujuh daerah berdasarkan rekod Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang telah diberikan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM).

Kok Lim ketika menjawab soalan tambahan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat.
Kok Lim ketika menjawab soalan tambahan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat.

"Untuk daerah Mualim, daerah Larut Matang dan Selama serta daerah Kuala Kangsar, masing-masing mempunyai satu lombong. Sementara itu, daerah Kampar dan daerah Perak Tengah masing-masing mempunyai dua lombong.

"Daerah Kinta dan daerah Hulu Perak pula masing-masing memiliki tiga lombong bijih timah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ong Seng Guan (PH-Pokok Assam).

Kok Lim berkata, secara umum aktiviti perlombongan bijih timah di Perak dalam keadaan terkawal malah pada 2023 sehingga November, hanya dua sahaja aduan dicatatkan masing-masing di daerah Kinta dan Hulu Perak.

Katanya, aduan yang diterima di daerah Kinta melibatkan kerja peletupan di lombong bijih timah di Tanjung Tualang manakala di Hulu Perak pula membabitkan aduan berkaitan pencemaran Sungai Rui didakwa berpunca dari sisa perlombongan bijih timah.

Mengambil contoh kes aduan di daerah Hulu Perak, beliau berkata, apabila aduan diterima, jabatan akan segera melakukan pemeriksaan di lokasi seterusnya ke tapak aktiviti perlombongan yang berdekatan untuk menentukan punca sebenar aduan.

"Jabatan juga mengadakan pemantauan kualiti air Sungai Rui, Sungai Kuak, Sungai Endah, Sungai Kijang dan Sungai Kepayang serta efluen lombong bijih timah aktif di daerah Hulu Perak secara berkala melalui kaedah pensampelan air dan analisa makmal.

"Jabatan akan mengeluarkan arahan pemberhentian kerja sementara dan mengarahkan pelombong untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi sekiranya aduan yang diterima yang adalah berasas," katanya.

Bagi menjawab soalan Mohamad Amin Roslan (PH-Pengkalan Hulu), Kok Lim berkata, JMG Perak memberi komitmen dalam mengawal selia aktiviti perlombongan bijih timah di kawasan Pengkalan Hulu.

Menurutnya, antara yang dilakukan termasuklah pelaksanaan pemantauan melibatkan pemeriksaan fizikal keadaan di tapak lombong, kerja pensampelan air sungai, efluen lombong permukaan yang keluar daripada kawasan lombong dan pemantauan air bawah tanah melalui telaga pemantauan yang dijalankan secara berkala di sekitar kawasan aktif aktiviti perlombongan di Hulu Perak.