Tingkatkan infrastruktur, kesejahteraan rakyat

KKR melaksanakan inovasi meningkatkan keselamatan para pengguna jalan raya dengan memperkenalkan teknologi glow in the dark yang pertama di Malaysia.
KKR melaksanakan inovasi meningkatkan keselamatan para pengguna jalan raya dengan memperkenalkan teknologi glow in the dark yang pertama di Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Tahun 2023 telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan buat Kementerian Kerja Raya (KKR) di bawah kepimpinan Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad masing-masing selaku Menteri dan Timbalan Menteri.

Banyak kejayaan telah direkodkan pada tahun ini yang mana KKR sentiasa mengambil pendekatan yang menyeluruh dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat meliputi pembangunan kemudahan infrastruktur, inovasi sehinggalah menyantuni rakyat dalam menghadapi bencana.

Usaha KKR tersebut selari dengan matlamat pentadbiran Kerajaan MADANI yang menitikberatkan pembangunan inklusif meliputi aspek fizikal negara sehinggalah kepada aspek kesejahteraan rakyat.

Mengenai pembangunan infrastruktur dan kemudahan kepada rakyat, KKR telah merintis Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) yang melibatkan 11 lebuh raya atas matlamat meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Usaha itu telah berjaya dilaksanakan pada September lalu di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE), Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Terowong SMART, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) serta Lebuhraya Kuala Lumpur - Putrajaya (MEX).

Selain itu, KKR turut melaksanakan inovasi meningkatkan keselamatan para pengguna jalan raya dengan memperkenalkan teknologi glow in the dark yang pertama di Malaysia.

Projek rintis telah dilaksanakan oleh JKR Daerah Hulu Langat di Jalan Sungai Lalang (B19) dan Jalan Sungai tekali (B16), Hulu Langat Selangor.

Selain itu, KKR turut melaksanakan kerja-kerja tebatan banjir di 14 lokasi di sepanjang jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dengan peruntukan RM200 juta.

Artikel Berkaitan:

KKR memperkukuhkan kerjasama infrastruktur, keselamatan dan penyelenggaraan jalan raya bersama Arab Saudi dan Kazakhstan.
KKR memperkukuhkan kerjasama infrastruktur, keselamatan dan penyelenggaraan jalan raya bersama Arab Saudi dan Kazakhstan.

Malah, di bawah inisiatif Bitara Malaysia Madani, KKR melalui Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) membina infrastruktur tempat berteduh kepada para penunggang motosikal di lokasi-lokasi tertentu di sepanjang lebuh raya.

Bagi memastikan keselamatan para penunggang motosikal, inisiatif yang dimulakan pada tahun 2023. Sebanyak 119 lokasi tambahan telah dikenalpasti untuk inisiatif tersebut yang mana 40 lokasi pertama akan siap pada pada tahun 2023 manakala selebihnya pada 2024.

Pada masa sama, KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) turut berjaya memperkukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa apabila dinobatkan sebagai juara dalam World Summit on the Information Society (WSIS) 2023 anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan Mac 2023.

Malah, KKR juga turut memperkukuhkan kerjasama di peringkat antarabangsa dengan memperkukuh kerjasama strategik bersama Arab Saudi dan Kazakhstan dalam sektor infrastruktur, keselamatan dan penyelenggaraan jalan raya pada Oktober.

Ketika ini, KKR sedang giat melaksanakan projek-projek mega infrastruktur jalan raya antaranya seperti Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah (LPB Sabah) Fasa 1 secara berperingkat iaitu Fasa 1A (16 pakej) dan 1B (19 pakej) dengan anggaran jarak keseluruhan sebanyak 706 kilometer.

Berdasarkan kemajuan semasa, LPB Sabah Fasa 1A dijangka akan siap pada 2025 manakala baki LPB Sabah Fasa 1B dijangka akan memula pembinaannya pada suku pertama tahun 2024.

Selain itu juga, Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur, Pahang dengan anggaran jarak keseluruhan sepanjang 299.4 kilometer sedang dalam fasa pembinaan dan dijangka dapat disiapkan pada tahun 2026.

Secara keseluruhannya, KKR telah banyak melaksanakan inisiatif berimpak tinggi sepanjang tahun ini bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara seiring dengan aspirasi pentadbiran Kerajaan MADANI.

Kempen MYJalan perkasa pendidikan pengguna jalan raya

SHAH ALAM - Dalam usaha untuk menyemai rasa akauntabiliti dan tanggungjawab kolektif di kalangan pengguna jalan raya, kempen komprehensif telah dilancarkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui kempen MY Jalan (MYJalan) dengan objektif utama untuk mendidik orang ramai tentang penggunaan, penyelenggaraan dan keselamatan jalan raya.

Aduan kerosakan jalan raya yang diterima KKR menerusi aplikasi MYJalan meningkat 10 kali ganda berbanding sebelum ini. - Gambar hiasan.
Aduan kerosakan jalan raya yang diterima KKR menerusi aplikasi MYJalan meningkat 10 kali ganda berbanding sebelum ini. - Gambar hiasan.

Inisiatif kempen ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan orang ramai dan pihak berkepentingan dalam memantau kualiti jalan raya.

Malah, KKR turut memperkenalkan aplikasi MYJalan sebagai platform saluran aduan yang berkonsepkan 'No Wrong Door'. Platform ini memudahkan komunikasi di antara orang awam dan pihak berkuasa bagi memastikan kebimbangan berkaitan jalan raya ditangani dengan segera.

Semasa pelancaran Kempen MY Jalan pada Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk pembaikan dan penyelenggaraan jalan di wilayah Gerik-Jeli.

Komitmen kewangan ini menekankan dedikasi kerajaan untuk memastikan penambahbaikan berterusan infrastruktur jalan raya demi keselamatan dan manfaat orang ramai.

Selain itu, ia juga mengiktiraf sumbangan besar bekas kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dalam pembinaan jalan Gerik-Jeli,

Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan kewangan sekali sahaja (one off) kepada semua pekerja yang terlibat dalam pembinaan jalan ini ini sebagai tanda penghargaan daripada kerajaan atas pengorbanan mereka dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek infrastruktur jalan raya demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Pada dasarnya, inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya tetapi turut menunjukkan komitmen kerajaan memupuk rangkaian jalan raya yang selamat dan cekap melalui usaha kolaboratif dengan masyarakat.

Menerusi inisiatif MYJalan ini, ia mampu membina persekitaran jalan raya yang mengutamakan keselamatan, pendidikan dan penyertaan awam.

Hasil pelaksanaan MYJalan ini telah berjaya memperlihatkan hasil yang memberangsangkan apabila sebanyak 676 aduan berjaya diselesaikan berkaitan masalah jalan raya dalam tempoh satu hingga 30 hari,

Perkara itu disahkan oleh Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang mana 912 daripada 3,403 aduan yang diterima melalui aplikasi MyJalan bermula 1 Ogos hingga 23 Oktober lepas itu membabitkan jalan kendalian agensi KKR, manakala selebihnya (2,491 aduan) ialah jalan negeri dan jalan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, daripada 912 aduan tersebut, 30 peratus atau 275 aduan melibatkan jalan berlubang, 20 peratus (187 aduan) berkenaan lampu jalan, 19 peratus (174 aduan) bagi jalan rosak, 11 peratus (98 aduan) berhubung lampu isyarat dan tujuh peratus (64 aduan) membabitkan garisan jalan.