Permohonan 'Superman Hew' untuk ganti rugi RM1.4 juta ditolak

Hew Kuan Yau atau dikenali 'Superman Hew' gagal peroleh ganti rugi RM1.048 juta bagi kehilangan pendapatan susulan 13 buku komik ‘Inisiatif Jalur&Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dirampas KDN, empat tahun lepas. - Foto FB KuanYauHew
Hew Kuan Yau atau dikenali 'Superman Hew' gagal peroleh ganti rugi RM1.048 juta bagi kehilangan pendapatan susulan 13 buku komik ‘Inisiatif Jalur&Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dirampas KDN, empat tahun lepas. - Foto FB KuanYauHew
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau, atau lebih dikenali sebagai 'Superman Hew,' hari ini gagal memperoleh ganti rugi RM1.048 juta bagi kehilangan pendapatan susulan 13 buku komik ‘Inisiatif Jalur&Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), empat tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh juga menolak permohonan Kuan Yau untuk ganti rugi am, teruk dan teladan pada prosiding taksiran ganti rugi bagi permohonan semakan kehakiman yang difailkan terhadap kerajaan, KDN, Menteri Dalam Negeri serta Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, Amarjeet yang membuat keputusan itu menerusi e-mel membenarkan tuntutan Kuan Yau bagi kos guaman sebanyak RM51,140 dan kos buku yang dirampas iaitu RM325.

Kuan Yau diwakili peguam, Vince Tan manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud mewakili semua responden.

Pada Disember 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Julai tahun sama yang membenarkan rayuan Kuan Yau untuk membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri mengharamkan komik berkenaan.

Mahkamah Persekutuan turut memerintahkan supaya kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi taksiran ganti rugi.

Kuan Yau memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi pada 26 April 2021 menolak permohonan beliau untuk membatalkan perintah pengharaman komik terbabit oleh Menteri Dalam Negeri dan warta Jabatan Peguam Negara bertarikh 23 Okt 2019 dalam semakan kehakiman yang difailkannya.

Beliau adalah pengarang bersama komik yang diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Cina.

Artikel Berkaitan:

Perintah pengharaman itu berkuat kuasa bagi komik dalam ketiga-tiga bahasa.

Dalam permohonan itu, Kuan Yau turut memohon pengisytiharan bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 adalah tidak berperlembagaan, batal serta tidak sah. - Bernama