Syarat lebih ketat lesen bot pelancongan

Sandrea menjawab soalan Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) dalam Sidang DUN Perak pada Khamis.
Sandrea menjawab soalan Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) dalam Sidang DUN Perak pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Syarat lebih ketat akan dikenakan ke atas permohonan lesen bot pelancongan di Perak, kata Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng.

Beliau berkata, perkara itu akan diperhalusi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Laut bagi mengelak kemalangan seperti insiden bot terbalik di Pantai Teluk Batik, Ogos lalu berulang.

Menurutnya, diakui sebelum ini berlaku sedikit kelemahan ke atas syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) dikenakan hingga mengundang risiko terhadap keselamatan pengunjung.

"Mengambil pengalaman insiden sebelum ini, kita akan lihat dan memperketatkan syarat-syarat yang ada supaya sebelum meluluskan sesuatu lesen itu, semua aspek terutama keselamatan dititikberatkan.

"Sebelum ini ada kelemahan yang perlu diperbaiki, jadi selepas ini syarat lebih jelas perlu ditambah supaya pihak yang bertanggungjawab dapat memastikan semua syarat dipatuhi oleh pengusaha," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Dalam kejadian 28 Ogos itu, seorang pelancong wanita meninggal dunia selepas bot dinaiki bersama lapan yang lain terbalik di Pantai Teluk Batik.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.

Sandrea berkata, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri pada 24 November lepas untuk semakan dan pendakwaan di Mahkamah.

Katanya, dalam masa sama, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengarahkan perbehentian serta-merta kepada pengusaha terlibat sehingga lesen aktiviti dikeluarkan bermula tarikh kejadian.

"MPM juga telah mengeluarkan notis arahan keselamatan kepada semua pengusaha dan juga pemakluman bagi menghentikan operasi sementara dalam tempoh penyiasatan isu tersebut," katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah keselamatan, pada masa kini, Jabatan Laut menempatkan anggota pada hari hujung minggu dan cuti umum di kawasan peranginan sekitar Lumut bagi memastikan bot digunakan untuk aktiviti pelancongan adalah bot berlesen dan dikendalikan mengikut kapasiti ditetapkan.

Jelasnya, MPM telah menggariskan syarat-syarat pengendalian sukan air dan pemantauan dilaksanakan dari masa ke semasa melalui kaedah dan SOP Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM.

"Sekiranya berlaku perlangaran syarat, pihak pengusaha boleh di kompaun dan tindakan tutup perniagaan," katanya.