Wardah, Kahf terus kekal sokong kempen #QuranHour

Ketua Kumpulan Pembangunan Jenama Kecantikan Halal Paragon, Alif Kartika (dua dari kiri) bersama rakan sekerja dari Paragon Indonesia dan Malaysia menyertai World #QuranConvention di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, 2 Disember lalu.

A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat produk kecantikan dari Indonesia, PT Paragon Technology and Innovation (Paragon) melalui jenama Wardah dan Kahf mahu teruskan kerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dalam menjayakan kempen #QuranHour serta World #QuranConvention pada masa akan datang.

Ketua Kumpulan Pembangunan Jenama Kecantikan Halal Paragon, Alif Kartika berkata, syarikat itu melihat visi dan misi program anjuran WUIF tersebut selari dengan matlamat pihaknya apabila menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

“Kami bersyukur dapat menjadi sebahagian rakan sinergi dalam acara yang membawa kita untuk mendekati al-Quran.

"Setiap orang memerlukan bimbingan dan pertunjuk al-Quran sewaktu menghadapi ujian hidup serta kembali kepada ALLAH sebagai hamba yang diredai-Nya.

“World #QuranConvention diharapkan akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang. Semoga lebih ramai orang dapat memanfaatkan al-Quran dalam segala aspek kehidupan mereka,” katanya ketika ditemui sewaktu World #QuranConvention 4.0 pada 2 Disember lalu.

Tambah beliau, Paragon berpusat di Indonesia ditubuhkan pada 1985 dengan mengetengahkan produk pertama halal dalam penjagaan diri dan kosmetik melalui jenama Wardah.

Ketua Kumpulan Pembangunan Jenama Kecantikan Halal Paragon, Alif Kartika (dua dari kiri) bersama rakan sekerja dari Paragon Indonesia dan Malaysia menyertai World #QuranConvention di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, 2 Disember lalu.
Ketua Kumpulan Pembangunan Jenama Kecantikan Halal Paragon, Alif Kartika (dua dari kiri) bersama rakan sekerja dari Paragon Indonesia dan Malaysia menyertai World #QuranConvention di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, 2 Disember lalu.

Menurutnya, syarikat tersebut bukan sahaja ingin memajukan perniagaan, malah turut memberi komitmen untuk menjalankan kerja tanggungjawab sosial korporat.

Artikel Berkaitan:

“Pada 2 November lalu, Paragon bersama Presiden Indonesia, Jokowi Widodo bersama beberapa institusi masyarakat telah memberi bantuan dalam bentuk produk dan ubat-ubatan kepada rakyat Palestin.

“Alhamdulillah, atas izin ALLAH SWT, kami juga telah berjaya menyewa pesawat kedua pada 20 November lalu untuk membawa barangan bantuan kemanusiaan ke negara bergolak itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Alif Kartika berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk mengembangkan produk perawatan wajah dan badan untuk lelaki atas jenama Kahf termasuk minyak wangi EDT Kahf serta produk khusus penjagaan jambang iaitu Kahf Beard Oil dan Kahf Beard Serum.

“Kami menerima sambutan baik daripada pelanggan di Indonesia dan Malaysia kerana mereka percaya serta yakin terhadap kualiti produk Wardah dan Kahf yang mendapat pengiktirafan sijil halal di kedua-dua negara ini.

“Produk dan amalan Islam perlu jalan seiring. Kami mendapati bahawa masyarakat Islam hari ini mahu menjalani kehidupan yang berkualiti dengan penggunaan produk halal,” jelasnya.

Sebelum ini, Wardah dan Kahf memberi sokongan sebagai penaja bagi World #QuranConvention bermula tahun lepas dalam bentuk wang dan produk penjagaan diri serta kosmetik.

Tambahan, pada tahun ini pihaknya turut memberi tajaan wang tunai berjumlah RM70,000 dan barangan produk yang bernilai RM87,000 untuk peserta World #QuranConvention.

Penaja lain yang turut menjayakan World #QuranConvention adalah Yayasan Pendidikan MAIDAM, Islamic Tourism Centre, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Fraser Valley, Kumpulan MFDM Holdings, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan syarikat penerbangan rasmi, Malaysia Aviation Group.

World #QuranConvention yang dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diadakan di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang pada 2 Disember lalu.

Konvensyen tersebut merupakan inisiatif mengajak ummah untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui pembacaan, memahami dan mengamalkan dalam membentuk kerangka pemikiran serta karakter diri berpandukan al-Quran dan Hadis.

Pegangan tersebut merupakan panduan dalam setiap aspek kehidupan untuk diri, keluarga, organisasi, negara dan global. Sejak 2019, World #QuranConvention menjelajahi hikmah surah seperti al-Kahf, al-Mulk, dan al-Sajdah.