Cuaca cerah, mangsa banjir ambil peluang jenguk kediaman

Sepasukan pegawai dan anggota polis bertanya khabar Mohd Zaidi (kanan) ketika pemantauan di Kampung Serongga. Gambar kecil: Mohd Zaidi (kiri), Mohd Kamarul Azlan)
Sepasukan pegawai dan anggota polis bertanya khabar Mohd Zaidi (kanan) ketika pemantauan di Kampung Serongga. Gambar kecil: Mohd Zaidi (kiri), Mohd Kamarul Azlan)
A
A
A

PASIR MAS - Cuaca cerah dan air semakin surut pada Rabu memberi peluang penduduk Kampung Serongga yang berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) pulang menjenguk kediaman mereka.

Tinjauan di kampung itu mendapati beberapa mangsa yang pulang ke rumah mahu memastikan keadaan kediaman mereka selamat.

Penoreh getah, Mohd Shauti Zakaria, 42, mengambil peluang untuk meninjau keadaan rumah yang dinaiki air sejak 1 Disember lalu.

Bagaimanapun, bapa kepada empat anak berusia dua hingga 12 tahun itu terpaksa meredah banjir antara 0.2 meter hingga 0.4 meter hampir dua kilometer untuk sampai ke rumahnya.

"Cuaca elok dan air surut membolehkan saya menjenguk kediaman dan melihat keadaan sekeliling selepas dinaiki air," katanya.

Mohd Shauti berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang bersama isteri, Kalmilah Che Hussin, 38, dan anak-anak mereka selepas air naik sehingga 0.3 di halaman rumah.

Bagi warga emas, Mohd Zaidi Salleh, 60, pula, cuaca cerah menyebabkan dia bergegas pulang bagi memastikan keadaan rumahnya selamat dan tiada kerosakan teruk.

"Kami sudah bersedia lebih awal dengan meletakkan semua barang berharga dan dokumen penting di tempat yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Nasib baik ada bot sendiri dan tahun ini saja sudah tiga kali kami berpindah," katanya.

Mohd Kamarul Azlan Abd Manaf, 33, pula memberitahu, rondaan pasukan keselamatan di kawasan kediaman mereka memberi keyakinan tiada kes pecah rumah sepanjang mangsa berada di PPS.

"Lega kerana tinjauan anggota berkenaan turut memastikan kediaman dan ternakan selamat.

"Alhamdulillah kerana setiap hari ada polis, askar dan anggota keselamatan lain memantau keadaan rumah kami yang dapat mengelakkan kes kecurian barang berharga," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!