Polis lupus barangan rampasan RM1.24 juta

Wan Azlan (kiri) bersama Mohd Reza (kanan) melakukan gimik memusnahkan barang rampasan sempena majlis pelupusan barang kes IPD Subang Jaya, Selangor pada Rabu.
Wan Azlan (kiri) bersama Mohd Reza (kanan) melakukan gimik memusnahkan barang rampasan sempena majlis pelupusan barang kes IPD Subang Jaya, Selangor pada Rabu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Subang Jaya melupuskan barangan rampasan bernilai RM1.24 juta bagi tempoh 2020 hingga 2021.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kesemua barang kes itu melibatkan kes perjudian, bitcoin, barangan kontraban tanpa cukai, kes seksual, kekerasan serta jenayah harta benda.

Wan Azlan
Wan Azlan

Beliau berkata, barangan rampasan yang dilupuskan itu melibatkan 179 kertas siasatan yang telah selesai tindakan pendakwaan dan pesalah dijatuhkan hukuman.

"Ia dibuat mengikut kaedah dan peraturan di bawah perintah tetap Ketua Polis Negara dan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 406A dan 407A Kanun Prosedur Jenayah.

"Arahan pelupusan ini diperoleh daripada pihak pendakwaraya serta diluluskan pihak mahkamah," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada majlis pelupusan barang kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Hadir sama Majistret Mahkamah Shah Alam, Mohd Reza Azhar Mohd Razali.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Azlan berkata, rampasan melibatkan Op Dadu atau kes perjudian membabitkan 1,078 set komputer, komputer riba dan telefon bimbit berjumlah RM744,600 serta wang tunai sebanyak RM27,807.

Kata beliau, bagi barangan rampasan Op Kontraban tanpa cukai, pihaknya melupuskan 1,479 botol arak dan sejumlah 1,863 karton rokok yang dianggarkan bernilai RM418,000.

Menurut beliau, pelupusan melibatkan Op Elektrik menyaksikan 113 mesin bitcoin dengan nilai rampasan sebanyak RM51,000.

Sementara itu ditanya mengenai kes tembak di Bandar Sunway pada Jun lalu, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan risikan.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan oleh suspek adalah nombor palsu.

Katanya, masih banyak perkara yang perlu dilakukan siasatan secara mendalam.

"Setakat ini, belum capai tahap untuk diuar-uarkan kepada pihak media," ujarnya.