[VIDEO] Masjid Zahir perkenal pelekat fungsi tabung, galak budaya sedekah

A
A
A

ALOR SETAR - Masjid Zahir mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pelekat pengenalan fungsi tabung di masjid negeri di Bandaraya Alor Setar di sini sejak November lepas.

Imam Besar Masjid Zahir, Mohd Naim Ahmad berkata, pelekat fungsi tabung itu diperkenalkan dalam usaha memberi pendidikan dan pemahaman kepada jemaah akan kebaikan bersedekah.

Menurut Mohd Naim, beliau mendapati inisiatif terbabit memberi impak positif apabila berjaya membudayakan amalan bersedekah sekali gus meningkatkan kutipan tabung masjid.

Mohd Naim
Mohd Naim

"Terdapat enam tabung dengan logo baharu Masjid Zahir diletakkan di ruang berbeza di sekitar masjid ini.

"Pengurusan Masjid Zahir membahagikan kesemua tabung kepada beberapa kategori iaitu khatam Subuh, Zahra Care dan umum mengikut fungsi-fungsinya," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sebagai contohnya, kata Mohd Naim, tabung khatam Subuh membolehkan pengurusan Masjid Zahir membiayai ataupun meneruskan program khatam Subuh sekali gus mengajak orang ramai mengimarahkan masjid negeri itu.

Katanya, pihak pengurusan masjid memberi khidmat kebajikan kepada jemaah seperti jamuan percuma pada Jumaat setiap minggu selepas kuliah Subuh melalui kutipan tabung Zahra Care.

Artikel Berkaitan:

"Jadi tetamu, jemaah solat Subuh dan juga yang menghadiri majlis ilmu boleh menikmati juadah secara percuma sahaja dan Alhamdulillah masih berjalan dan mendapat sambutan.

"Menerusi Zahra Care, kita meneruskan program berbuka puasa untuk masyarakat dan juga pengunjung yang berpuasa untuk berbuka puasa sunat Isnin dan Khamis dengan menyediakan jamuan buka puasa berteraskan kepada bubur lambuk, kurma dan air minuman," katanya.

Beliau berkata, tabung umum pula digunakan untuk tujuan pembangunan, pengimarahan kuliah Maghrib, kuliah dhuha, kuliah atas talian ataupun kaunseling keluarga, bantuan persekolahan sehinggalah kerja pembaikan berkaitan yang akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa.

Mohd Naim menunjukkan pelekat khas fungsi tabung yang diperkenalkan pada November lepas.
Mohd Naim menunjukkan pelekat khas fungsi tabung yang diperkenalkan pada November lepas.

Sehubungan itu, Mohd Naim memberitahu, pihaknya berharap pelekat terbabit dapat memberi kemudahan kepada jemaah dan pengunjung untuk mengetahui fungsi tabung-tabung disediakan pengurusan masjid.

"Melalui langkah proaktif terbabit, kita berharap ia membantu dan memaklumkan jemaah masjid tentang saluran mana dimanfaatkan infaq dan sedekah mereka," katanya.