Elaun atlet Perak dinaikkan

Khairudin ketika sesi penggulungan Enakmen Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.
Khairudin ketika sesi penggulungan Enakmen Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kadar elaun atlet Perak telah dinaikkan pada kadar antara RM50 hingga RM100, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah.

Beliau berkata, kadar baharu elaun itu mula dikuatkuasakan pada Oktober lepas setelah mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.

Menurutnya, kenaikan itu diperhalusi berdasarkan kepada peruntukan sedia ada jabatan dan mengambil kira fokus kepada keutamaan serta keperluan.

"Sungai Manik telah membangkitkan isu kadar elaun atlet.

"Kerajaan negeri melalui MSN telah mengambil maklum dan tindakan dalam mengkaji semula kadar pembayaran elaun ini," katanya ketika sesi penggulungan Enakmen Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Beliau berkata, dengan kadar baharu itu, elaun atlet sepenuh masa yang sebelum ini menerima RM200 dinaikkan kepada RM250 manakala atlet kita juara dan atlet potensi daripada RM150 kepada RM250.

Katanya, program podium Perak pula, elaun atlet individu dinaikkan dari RM550 kepada RM650 hingga RM700 dan bagi kumpulan menerima elaun RM450 hingga RM500 berbanding RM350 sebelum ini.

"Bayaran elaun ini dibuat tiga bulan dari tarikh Sukan Malaysia (Sukma) dan berdasarkan prestasi semasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM7.3 juta bagi perbelanjaan mengurus dalam menghadapi Sukma 2024 yang akan dilangsungkan di Sarawak pada Ogos tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Khairudin menjelaskan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sedia menimbang cadangan menyewakan kuarters guru tidak berpenghuni kepada golongan B40 atau keluarga yang tidak mempunyai kediaman sebagai satu kaedah mengoptimumkan penggunaan premis itu.

Ujar beliau, berdasarkan data terkini, terdapat 1,212 kuarters guru masih berada dalam keadaan baik dan tidak berpenghuni di seluruh negeri.

"Perkara ini merupakan dasar yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pelaksanaannya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!