Kadar inflasi negara mereda 2 peratus pada Julai

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar inflasi Malaysia pada bulan Julai 2023 terus mereda kepada 2.0 peratus berbanding 2.4 peratus pada bulan Jun 2023, mencatatkan penurunan 11 bulan berturut-turut.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kadar inflasi Julai 2023 adalah kadar inflasi terendah dalam setahun, mencerminkan trend harga yang semakin stabil secara berterusan.

Menurutnya, kategori makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang bahagian terbesar perubahan inflasi pada kadar 4.4 peratus.

"Secara positifnya, kadar inflasi Makanan dan Minuman Bukan Alkohol turun hampir 3.0 peratus daripada 6.8 peratus pada Disember 2022 kepada 4.4 peratus pada Julai 2023," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pengawalan kadar inflasi adalah salah satu keutamaan kerajaan dalam memastikan inflasi yang meningkat secara drastik dan tidak terkawal tidak berlaku.

“Kadar inflasi yang tinggi secara berterusan akan mengikis kuasa beli rakyat kerana harga barangan dan perkhidmatan akan naik tetapi pendapatan tidak semestinya naik pada kadar yang sama.

“Ini bermakna rakyat akan berhadapan dengan kesukaran untuk memenuhi keperluan asas mereka, apatah lagi untuk menabung atau membuat pelaburan. Kuasa ekonomi rakyat akan terjejas, membawa kepada potensi ketidakstabilan sosial,” katanya.

Jelasnya, sebagai tindakan proaktif, satu kertas dasar sedang dibangunkan untuk mengkaji dan bertujuan untuk mengurangkan Approved Permit (AP) dan Import Permit (IP).

Artikel Berkaitan:

“Kertas dasar ini dijangka dibentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) tidak lama lagi.

“Dengan mengurangkan atau mengehadkan AP dan IP, kerajaan berharap akan dapat menurunkan harga barang, khususnya barang import,” kata Rafizi.

Tambahnya, ini akan secara langsung membantu meningkatkan kuasa beli rakyat dan meringankan kesan inflasi.

“Terdapat juga ruang untuk memperbaiki peraturan antimonopoli dan persaingan untuk memastikan pasaran lebih kompetitif. Dengan meningkatkan persaingan, harga barang dan perkhidmatan akan menjadi lebih berpatutan,” ujarnya.

Rafizi berkata, pengawalan inflasi dan peningkatan kuasa beli rakyat adalah komponen kritikal Ekonomi Madani.

“Pendekatan ini akan dilaksanakan dalam cara yang inklusif, berkesan, dan berkekalan untuk memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.