Beri peluang atlet bersara pegang jawatan persatuan sukan - Hannah

Hannah
Hannah
A
A
A

BEKAS atlet wajar diberi peluang untuk memegang jawatan dalam persatuan sukan keutamaannya yang mempunyai masa untuk berkhidmat dengan memegang konsep tata kelola baik demi kemajuan sukan di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, mereka berupaya berkongsi idea untuk mewakili atlet dan tahu bagaimana untuk membangunkan sukan di peringkat akar umbi.

"Itu sebab diperingkat Majlis Sukan Negara (MSN) diadakan kursus kepimpinan, dilatih menjadi pemimpin tetapi kita sedar ada persatuan memerlukan dana sebab itu mereka memilih tokoh korporat atau politik untuk bantu tambah dana.

"Tetapi sesiapa pun yang memegang jawatan yang tertinggi dalam persatuan itu, perlukan mereka yang mempunyai masa untuk berkhidmat dan memegang konsep tata kelola baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai kewajaran bekas atlet memegang jawatan dalam persatuan sukan.

Sebelum itu, Hannah hadir pada program rintis berbentuk Perkhemahan Keluarga di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Hannah berkata, Pesuruhjaya Sukan juga mencadangkan agar wanita turut diberikan peluang untuk terlibat dalam persatuan sukan.

"Persatuan sukan ada high performance ada bersifat rekreasi, jadi ia perlu seimbang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Hannah, pihaknya tidak menolak persatuan sukan itu dipimpin oleh individu atau mana-mana tokoh dalam pelbagai bidang.

"Saya tak kata ini syor kita, sebaliknya sesiapa sahaja yang mempunyai minat dan tanggungjwab masa berkhidmat dan mempunyai idea boleh membawa persatuan ke hadapan.

"Kita memang sarankan Pesuruhjaya Sukan, jawatan (persatuan sukan) bukan sahaja ahli politik sebab saya tak nak persatuan sukan ini digunakan oleh ahli politik sebagai medan berpolitik. Kita nak sukan maju," katanya.

Menurutnya, amat penting dalam mewujudkan keseimbangan dalam persatuan sukan dengan gabungan orang muda, orang berpengalaman, wanita dan lelaki.