Pentadbiran Anwar beri pengajaran penting kepada Barat, selatan global

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SINGAPURA - Pertumbuhan inklusif yang disasarkan oleh pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi pengajaran penting kepada Barat dan seluruh selatan global, menurut Dr Dan Steinbock, seorang pakar strategi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dr. Dan Steinbock mendapati Anwar sering menekankan tentang visinya untuk Malaysia dan yakin negara itu boleh menjadi "model ekonomi yang hebat untuk masyarakat majmuk melalui keamanan, kasih sayang dan keharmonian."

Steinbock merupakan pengasas perunding global Difference Group Ltd yang membantu kerajaan, syarikat dan organisasi di Barat dan Selatan Global untuk bergiat aktif dalam ekonomi dunia multipolar.

Beliau menyatakan pandangannya melalui e-mel kepada Bernama apabila ditanya mengenai kepemimpinan Anwar di dalam dan di luar negara menjelang setahun kepimpinan Kerajaan Madani pada akhir minggu ini.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 pada 24 November 2022.

Steinbock berkata reaksi positif pasaran kewangan terhadap kerajaan Madani mencerminkan persepsi bahawa (kerajaan) perpaduan baharu dilihat sebagai kuasa penstabil.

"Usaha untuk kelestarian dan transformasi digital menunjukkan pendekatan berorientasikan masa depan. Tumpuan kepada ekonomi, kos sara hidup dan tadbir urus yang baik juga wajar.

"Perbahasan bajet menunjukkan bahawa pembaharuan struktur mungkin menghadapi halangan politik. Namun, tanda-tanda awal memberangsangkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Merujuk kepada keadaan ekonomi Malaysia, Steinbock berkata, ekonomi berkemungkin pulih beransur-ansur dalam suku-suku akan datang.

Ini, katanya, tidak banyak berkait dengan Malaysia dan sebaliknya berpunca daripada kesan permintaan global yang semakin lemah dan keadaan monetari yang terhad.

"Kedua-dua faktor mempunyai implikasi buruk di seluruh dunia; khususnya dalam kalangan pengeksport komoditi yang agak terdedah, termasuk Malaysia.

"Dalam keadaan ini, jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia pada kira-kira 3.9 peratus pada 2023 merupakan tindak balas yang baik dalam persekitaran antarabangsa yang sukar,” katanya.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura sejak kerajaan Madani memerintah adalah antara perkembangan yang menarik perhatian beliau.

Menurutnya, apabila persekitaran antarabangsa bersifat berpecah-belah, ia mendorong kepada perpecahan dalam negara.

"Dalam situasi begini, kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan sangat penting. Kerajaan Madani dilihat telah mengatasi ketidakpastian yang dikaitkan dengan episod "parlimen tergantung”.

Ditanya berapa skor antara 1-10 yang beliau akan berikan terhadap kepimpinan Anwar, Steinbock berkata:

"Memandangkan senario kurang baik yang dilihat di Malaysia beberapa tahun lalu, dan berulangnya masalah semasa episod parlimen tergantung, kepimpinan Anwar Ibrahim mungkin telah memperoleh skor "baik”.

"Tetapi ujian paling sukar masih menunggunya. Jika kepimpinan Anwar dapat mengekalkan perpaduan politik dan pembangunan ekonomi, ia pasti akan semakin menghampiri skor "cemerlang."

Steinbock pernah berkhidmat di India China and America (ICA) Institute, Shanghai Institutes for International Studies (China), dan EU Centre (Singapura).

Beliau pernah berada di Eropah, Amerika Syarikat, Asia dan Asia Barat dan mengembara di kebanyakan wilayah di dunia. Sarjana kanan Fulbright itu datang ke New York City pada tahun 1980-an. Kini beliau menghabiskan sebahagian besar masanya di Asia. - Bernama