Beri keyakinan, masa kepada PM selesai masalah negara - Pemimpin Sabah

Anwar ketika tiba bagi merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan di Dataran Buhavan Square Penampang hari ini. - Foto Bernama
Anwar ketika tiba bagi merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan di Dataran Buhavan Square Penampang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Rakyat Malaysia khususnya di Sabah perlu memberikan keyakinan dan masa kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah negara mengikut keutamaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud berkata, dalam tempoh setahun, Kerajaan Perpaduan telah membuktikan keseriusan untuk menyelesaikan masalah di negara ini terutama isu kemiskinan.

Secara peribadi, beliau melihat Anwar sebagai Perdana Menteri pertama yang tampak serius dan ikhlas untuk memastikan pembangunan negara khususnya di Sabah dipercepat.

"Ini bukan bermaksud saya menidakkan usaha kerajaan atau perdana menteri sebelum ini namun kita dapat melihat apa hasil daripada usaha yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan khususnya berkaitan isu melaksanakan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Kita tahu banyak masalah yang dihadapi rakyat namun kita bagi masa kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu tersebut mengikut keutamaan terutama isu kemiskinan dan prasarana di negara ini khususnya di Sabah dan Sarawak," kata Ahli Parlimen Sepanggar itu kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom hari ini yang menggesa supaya pembangunan kemudahan rakyat Sabah termasuk bekalan air, elektrik dan Lebuhraya Pan Borneo dipercepat tanpa ada sebarang alasan lagi.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, pelaksanaan sepenuhnya hak Sabah dalam MA63 menjadi agenda utama Ahli Parlimen Negeri Di Bawah Bayu namun ia perlu dibincang mengikut cara yang betul.

"Selaku ahli Parlimen, saya melihat keikhlasan Perdana Menteri untuk melaksanakan hak Sabah dalam MA63 dengan beberapa hak telahpun dilaksanakan namun pada masa yang sama, kita perlu beri sokongan kepada beliau untuk menyelesaikan masalah utama rakyat terlebih dahulu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Wong Thien Fook pula berkata, rakyat Sabah perlu berterima kasih kepada Anwar yang dilihat berusaha dan telus untuk melaksanakan hak negeri itu dalam MA63.

Beliau berkata, Perdana Menteri mampu menyelesaikan beberapa isu MA63 dalam tempoh setahun berbanding kerajaan sebelum ini yang hanya berupaya membawa isu terbabit ke proses perbincangan namun gagal dilaksanakan.

"Ini adalah perkara positif yang perlu dipuji, sampai bila kita mahu tunggu, isu MA63 sebelum ini sering kali hanya dibawa untuk perbincangan namun setelah bertahun-tahun, tiada pelaksanaan dibuat.

"Hari ini kita dengar bahawa Perdana Menteri mahu supaya pembangunan di Sabah dilaksanakan tanpa ada alasan... ini membuktikan Kerajaan Perpaduan benar-benar mahu majukan Sabah, kita tidak mahu Sabah ketinggalan dari segi pembangunan," katanya.

Bagi pemimpin tempatan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kopungit, Mohd Rizal Mahatin, penduduk kampung perlu menyokong usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan di negara ini.

Beliau berkata, penduduk kampung yang masih dalam golongan miskin tegar perlu merebut peluang disediakan kerajaan melalui agensi yang dipertanggungjawab seperti program keusahawanan untuk membantu menaikkan taraf ekonomi rakyat.

"Program-program yang dianjurkan kerajaan ini sudah terbukti berjaya dan saya berharap penduduk kampung merebut peluang ini agar sasaran untuk membasmi kemiskinan yang dibuat oleh Perdana Menteri dapat dicapai," katanya. - Bernama