Covid-19: Kes positif meningkat tapi terkawal

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 kembali mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila kes positif jangkitan virus itu mencatatkan peningkatan sejak bulan lepas.

Menurut data rasmi daripada laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), negara mencatat aliran peningkatan kes pada kadar 10 peratus.

Berdasarkan kemas kini pada 25 November lalu, kes harian penyakit itu berjumlah 617 kes yang menunjukkan kenaikan sebanyak 10 peratus kadar positif jangkitan.

Peningkatan kes tersebut sebanyak 3,626 dicatatkan dalam tempoh seminggu dari 19 sehingga 25 November, iaitu 57.3 peratus berbanding 2,305 kes dilaporkan setakat 18 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, majoriti kes iaitu 48 peratus melibatkan mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Laporan akhbar Sinar Harian pada Isnin.
Laporan akhbar Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, terdapat lapan kluster Covid-19 yang masih aktif dilaporkan dengan 121 kes terlibat dalam kluster berkenaan dengan majoriti yang dicatatkan ialah kluster pendidikan.

Walaubagaimanapun, KKM menyatakan peningkatan kes Covid-19 masih terkawal dan tiada kes kematian dilaporkan sehingga bulan itu.

Artikel Berkaitan:

Justeru, apakah faktor yang menyebabkan peningkatan Covid-19 ini berlaku semula selepas rakyat menerima suntikan vaksin untuk mengurangkan kadar penularan penyakit tersebut dalam negara?

Lebih merisaukan, bencana alam yang berlaku semasa musim tengkujuh seperti banjir di beberapa tempat juga berupaya meningkatkan kadar positif jangkitan penyakit berkenaan kerana orang ramai ditempatkan dalam kawasan sama iaitu di pusat pemindahan sementara (PPS).

Selain itu, sektor pelancongan berkemungkinan turut menyumbang kepada penularan Covid-19 kerana pelancong luar negara yang masuk ke dalam negara tanpa pengawasan serta kuarantin kendiri terlebih dahulu.

Rakyat dinasihatkan supaya kekal memakai pelitup muka di tempat tumpuan ramai. - Gambar hiasan
Rakyat dinasihatkan supaya kekal memakai pelitup muka di tempat tumpuan ramai. - Gambar hiasan

Tambahan pula, tempat penginapan di kawasan tertumpu tidak menjalankan proses sanitasi dengan betul seperti sebelum ini.

Kebanyakan masyarakat di negara ini juga sudah tidak ambil peduli tentang penyakit berjangkit yang boleh membawa maut dengan alasan telah mengambil suntikan vaksin sebanyak tiga hingga empat kali.

Oleh yang demikian, orang ramai masih perlu mengambil inisiatif untuk menjaga diri daripada terdedah dengan Covid-19 terutama sekali bagi yang mempunyai penyakit risiko tinggi.

Rakyat dinasihatkan supaya kekal memakai pelitup muka di tempat orang ramai berkumpul dan mencuci tangan dengan sabun sekerap yang mungkin.