Lapangan Terbang Tioman: Pahang dalam proses ambil alih tanah

Mohammad Fakhruddin menjawab pertanyaan Mohd Johari (BN-Tioman) pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, pada Rabu.
Mohammad Fakhruddin menjawab pertanyaan Mohd Johari (BN-Tioman) pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Pahang dalam proses pengambilalihan tanah bagi projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Pulau Tioman daripada 850 meter kepada 1,300 meter.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Rompin telah mendapatkan nilaian tanah daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta bagi lot-lot yang terlibat.

"Kita sedang dalam proses pelaksanaan cadangan alternatif bagi menaik taraf Lapangan Terbang Pulau Tioman dengan pemanjangan landasan yang sedia ada.

"Ini bagi membolehkan pendaratan pesawat jenis ATR42-600 dan pesawat jenis ATR72-600," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN- Tioman) pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, pada Rabu.

Johari ingin mengetahui apakah status projek Lapangan Terbang Pulau Tioman dan status pembinaan atau baik pulih jeti kargo di Marina Kampung Tekek, Pulau Tioman.

Mengulas lanjut, Mohammad Fakhruddin memaklumkan kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2024 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM47 juta.

Jelasnya, peruntukan itu bagi menaik taraf lapangan terbang sedia ada bagi meningkatkan keupayaan operasi untuk memenuhi peningkatan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong.

Artikel Berkaitan:

Ditanya adakah lapangan terbang tersebut akan menerima pesawat persendirian dan antarabangsa tanpa transit, beliau berkata, kajian sedang dijalankan oleh pihak perunding yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Jelasnya, ini bagi menentukan jarak pemanjangan, jenis kapal yang boleh digunakan dan syarikat penerbangan yang bersedia menjalankan perkhidmatan.

"Perunding juga sedang menyediakan kos pemanjangan, pengambilan balik tanah dan pengoperasian lapangan sedia ada tersebut," katanya.


Sidang DUN: Pembinaan ERCL di Pahang capai kemajuan 57.23 peratus

Dalam perkembangan lain, Mohammad Fakhruddin berkata, kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang telah mencapai kemajuan sebanyak 57.23 peratus sehingga 30 November lalu.

Menurutnya, kerja-kerja terbabit melibatkan beberapa daerah termasuk Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong.

"Kemajuan kerja projek ECRL menepati jadual pelaksanaan. Projek ini dijangka siap pada Disember 2026 dan beroperasi pada tahun 2027," katanya.

Mohammad Fakhruddin memaklumkan kerajaan negeri juga memperuntukkan RM2 juta bagi tahun 2024 untuk menaiktaraf kemudahan latihan Pahang Skills kepada Pusat Kecemerlangan dengan membangunkan kursus baharu iaitu Penyelenggaraan Landasan Keretapi selaras dengan projek ECRL.

Bagi mempromosikan pelancongan kereta api di laluan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus, beliau berkata, Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM150,000 bagi mempromosikan pakej pelancongan kereta api pada tahun hadapan.

"Ia melibatkan lima stesen KTM (Keretapi Tanah Melayu) iaitu di Kemayan, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis dan Merapoh," katanya.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Sim Chon Siang dalam sesi penggulungannya memberitahu kerajaan Pahang menyediakan peruntukan berjumlah RM4.51 juta.

Menurutnya, peruntukan sebanyak itu bagi melaksanakan program dan projek menyediakan peluang pekerjaan buat golongan pencari pekerja.

Katanya, kerajaan memperkenalkan Pembangunan Rangka Tindakan dan Pelan Strategik Majlis Pekerja Negeri Pahang, mengadakan Siri Forum ‘Pekerja Harmoni, Ekonomi Lestari’, Karnival Kerjaya Negeri Pahang, Pahang 1st Job dan Sistem Pengkalan Data Utama Pekerjaan Pahang atau CariKerja@Pahang.

“Langkah ini akan dibangunkan dengan kerjasama PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) menerusi MY FutureJobs (Portal Pekerjaan Nasional Malaysia). Sehingga September lalu, MYFutureJobs telah membantu seramai 4,829 pencari kerja di Pahang.

“Usaha ini dibuat bagi memperkukuhkan kerjasama dan penyelarasan program antara pihak kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan Program Jualan Rahmah (PJR) di 380 lokasi seluruh Pahang membabitkan 14 parlimen dan 42 DUN.

Jelasnya, PJR ini telah memberi manfaat kepada lebih 450,000 orang dengan rekod jualan melebihi RM26.1 juta.

Sesi persidangan sidang DUN Pahang bersambung pada Jumaat.