[VIDEO] Final Piala Malaysia: Penyokong TFC korban masa, wang

A
A
A

PENYOKONG setia skuad Penyu, Geng 12 FC Terengganu sanggup mengorbankan masa dan wang bagi menyaksikan perlawanan akhir antara Terengganu FC (TFC) dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 Disember ini.

Pengerusi Geng 12 FC Terengganu, Mohd Juslihadi Mohd berkata, dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri lebih RM500 semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan TFC.

"Selain itu, ahli-ahli Geng 12 FC Terengganu lain membayar RM130 untuk perbelanjaan di sana termasuk pengangkutan dan penginapan.

"Geng 12 FC Terengganu akan bergerak dengan lapan bas pada petang esok melibatkan 360 penyokong.

Mohd Juslihadi (dua dari kanan) bersama ahli-ahli Geng 12 FC Terengganu.
Mohd Juslihadi (dua dari kanan) bersama ahli-ahli Geng 12 FC Terengganu.

"Alhamdulillah...segala persiapan hampir 90 peratus sudah siap termasuk bendera dan gegantung dengan menelan belanja lebih RM2,000. Apa-apa pun kami tidak sabar untuk memberi sokongan padu kepada TFC semasa perlawanan akhir nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Juslihadi berkata, kali terakhir pasukan Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001 di mana ketika itu adalah zaman kegemilangan skuad Penyu.

Menurutnya, perlawanan final pada Jumaat ini adalah peluang TFC untuk membawa balik Piala Malaysia ke bumi Terengganu selepas 22 tahun.

Artikel Berkaitan:

Geng 12 FC Terengganu menyiapkan sepanduk sempena perlawanan akhir Piala Malaysia.
Geng 12 FC Terengganu menyiapkan sepanduk sempena perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Melihat kepada prestasi semasa TFC, ia boleh dianggap suatu pencapaian baik sekiranya mereka mampu memenangi Piala Malaysia.

"Kita percaya TFC akan berlawan habis-habisan sehingga ke masa penamat nanti disebabkan pasukan yang ditentang nanti (JDT) bukanlah pasukan yang calang-calang.

"Namun semangat penyokong Terengganu yang akan beri sokongan hebat di stadium bakal menjadi pembakar semangat kepada pemain Terengganu pada perlawanan akhir nanti," ujarnya.

Geng 12 FC Terengganu melakukan persiapan untuk memberi sokongan kepada TFC.
Geng 12 FC Terengganu melakukan persiapan untuk memberi sokongan kepada TFC.

Final Piala Malaysia 2023 antara juara bertahan, JDT dan TFC akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Sepak mula aksi akhir antara dua gergasi bola sepak negara itu ditetapkan pada jam 9 malam.

Juara edisi 2017, 2019 dan 2022, JDT yang telah mengesahkan kejuaraan Liga Super ke-10 berturut-turut, mara ke final selepas mencatatkan kemenangan agregat 12-2 ke atas Perak FC pada separuh akhir.

Terengganu yang merupakan juara edisi 2001, mengesahkan slot ke final menerusi kemenangan 4-2 secara agregat ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC.